Memorandum Solidariti diserah ke Kedutaan Iran, tegas tolak campur tangan asing

FOTO BERITA: Hantaran Memorandum ke Republik Islam Iran Demi Pembebasan Palestin di Kedutaan Republik Islam Iran, Kuala Lumpur. 30hb Januari 2026 (Jumaat)

Satu Memorandum Solidariti dan Sokongan kepada Republik Islam Iran telah diserahkan di Kedutaan Republik Islam Iran di Kuala Lumpur sebagai tanda bantahan terhadap sebarang bentuk campur tangan asing serta dakwaan usaha pertukaran rejim yang disifatkan menggugat kestabilan negara berdaulat itu, selain menzahirkan sokongan terhadap perjuangan pembebasan Palestin.

Memorandum berkenaan ditujukan kepada Presiden Republik Islam Iran, TYT Dr. Masoud Pezeshkian dan diserahkan kepada Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, TYT Tuan Valiollah Mohammadi Nasrabadi.

Dalam memorandum tersebut, pihak penganjur menyatakan bahawa kempen yang mensasarkan Iran ketika ini dilihat sebagai sebahagian daripada pola campur tangan asing yang berpanjangan, yang menurut mereka sering dilaksanakan atas nama demokrasi, keselamatan atau hak asasi manusia, namun didakwa mempunyai kepentingan geopolitik tertentu.

Menurut memorandum itu, tindakan sedemikian disifatkan bercanggah dengan prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang antarabangsa serta prinsip kedaulatan sesebuah negara.

Memorandum tersebut menggariskan lima pendirian utama, antaranya mengecam sebarang bentuk operasi pertukaran rejim yang didakwa dilakukan melalui sekatan ekonomi, operasi sulit, konflik proksi atau perang psikologi.

Selain itu, mereka menolak campur tangan asing dalam urusan dalaman Iran dan menegaskan bahawa masa depan politik negara itu perlu ditentukan sepenuhnya oleh rakyatnya sendiri tanpa tekanan luar.

Turut dinyatakan adalah kritikan terhadap dasar luar Amerika Syarikat dan Israel yang menurut memorandum tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas yang didakwa memberi kesan kepada kestabilan rantau Asia Barat.

Pihak penganjur turut menegaskan bahawa kedaulatan negara merupakan hak yang dilindungi undang-undang antarabangsa dan bukan sesuatu yang boleh ditentukan oleh kuasa besar dunia.

Seruan kepada komuniti antarabangsa
Melalui memorandum itu, beberapa seruan dibuat kepada komuniti antarabangsa termasuk agar negara-negara berdaulat menghormati undang-undang antarabangsa dan tidak terlibat dalam sebarang kempen yang boleh menggugat kestabilan negara lain.

Pertubuhan antarabangsa termasuk PBB juga diseru supaya bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi tekanan politik, manakala media dan masyarakat sivil digesa memainkan peranan dalam memastikan maklumat yang tepat serta menolak naratif yang boleh mencetuskan konflik.

Memorandum tersebut diselaraskan oleh Mohd Azmi Abdul Hamid dan mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan dan organisasi termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR), Sekretariat Perhimpunan Ulama Asia (SHURA), Majma’ Taqrib Baina Mazahib Malaysia, Parti Amanah Negara, Parti Putra, Citizens International, SEJAGAT, Humanitarian in Action International, Center for Peace Action and Development serta Global Coalition in Support of Baitul Maqdis dan Palestin.

Dalam penutup memorandum, pihak penganjur menegaskan pendirian mereka untuk berdiri bersama Iran dalam mempertahankan prinsip kedaulatan, undang-undang antarabangsa serta keamanan sejagat berasaskan saling menghormati antara negara, di samping menzahirkan solidariti terhadap perjuangan pembebasan Palestin.