Gantung sepenggal ‘terlalu lunak’, Cikgu Din gesa Wan Ahmad Fayhsal dipecat

Ketua Bersatu Bahagian Machang, Kamaruddin Ab Kadir menggesa Lembaga Disiplin parti memecat Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal secara muktamad.

Kamaruddin yang lebih dikenali sebagai Cikgu Din menyifatkan Tindakan menggantung Ahli Parlimen Machang itu selama satu penggal sebagai terlalu lunak dan tidak setimpal dengan “kerosakan” yang didakwa telah dilakukan terhadap Bersatu.

Menurutnya, Wan Ahmad Fayhsal sudah tidak lagi layak berada dalam Bersatu mahupun Perikatan Nasional (PN), khususnya berikutan tindakan yang didakwa mencetuskan perpecahan di bahagian Machang.

Beliau menegaskan Wan Fayhsal berulang kali menunjukkan sikap tidak menghormati disiplin parti, mencabar keputusan kepimpinan, serta mencetuskan kekeliruan dan perpecahan di peringkat bahagian.

“Tindakan menggantung beliau (Wan Fayhsal) selama satu penggal adalah tidak memadai dan terlalu lunak berbanding kerosakan yang telah beliau lakukan terhadap parti, khususnya terhadap Bersatu Bahagian Machang,” tegasnya dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Wan Fayhsal yang juga abang kepada pemain bola sepak profesional, Wan Kuzain Wan Kamal digantung sepenggal berkuat kuasa 13 Oktober tahun lalu susulan didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Dalam masa sama, Kamaruddin menegaskan bahawa kesalahan Wan Fayhsal yang didakwa serius adalah membuat aduan terhadap pemilihan dan persidangan Bersatu Bahagian Machang dengan menggunakan akuan bersumpah (SD) palsu.

Cikgu Din turut menuntut Wan Fayhsal dikeluarkan serta-merta daripada senarai Ahli Parlimen PN dan ditukar statusnya kepada Ahli Parlimen Bebas.

Jelasnya, individu yang terus menyerang parti, mencabar kepimpinan dan merosakkan struktur dalaman tidak boleh terus berlindung di sebalik nama dan logo PN.

Malah, dalam kenyataan sama, Cikgu Din berharap Lembaga Rayuan Bersatu tidak mempertimbangkan sebarang rayuan dibuat Wan Fayhsal dan bekas ahli MPT parti, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Untuk rekod, dalam pemilihan Bersatu tahun lalu, Cikgu Din berjaya mempertahankan kedudukannya sekaligus menyingkirkan Wan Fayhsal yang cuba merampas jawatan Ketua Bahagian Bersatu Machang.

Pemimpin veteran itu berjaya mempertahankan kedudukannya dengan memperoleh 103 undi, manakala Fayhsal, 39, hanya meraih 26 undi.

BACA JUGA Pulak dah, tiga bekas ADUN Pas Perlis kekal gugur walaupun…