Peniaga Jelawat merana, MP Bachok ‘asyik berteori ekonomi’
Arahan pemindahan peniaga kaki lima yang berniaga di kawasan parkir Pasar Jelawat ke Pasar Baru Jelawat mencetuskan bantahan, apabila mereka mendakwa langkah itu menjejaskan pendapatan harian mereka.
Peniaga yang telah mencuba mencari rezeki di tempat baharu di hujung kawasan bandar itu mendakwa mereka menanggung kerugian lantaran ketiadaan pelanggan malah sukar untuk mendapatkan RM10 sehari.
Keadaan itu turut mengundang sindiran pemerhati politik, Sham Ghaz, yang menyelar sikap Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.
Beliau berpendapat pegawai kanan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu lebih sibuk dengan wacana teori berbanding menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.
“Ahli Parlimen Bachok asyik berteori ekonomi dan sibuk angkat beg Presiden Pas hingga lupa rakyat yang undi dia hari itu,” tempelaknya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, dilaporkan lebih 30 peniaga terbabit berkumpul mengadakan protes membantah arahan perpindahan ke pasar baharu yang terletak kira-kira dua kilometer dari pasar lama.
Mereka menerima surat daripada Pejabat Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam pada 19 Disember lalu yang memanggil peniaga untuk menghadiri mesyuarat berhubung cadangan perpindahan itu.
Pada 18 Januari lalu, satu lagi pertemuan diadakan untuk membahagikan tapak jualan di Pasar Baru Jelawat serta penjual ikan, sayur dan buah terbabit diarah pindah pada hari ini.
Lokasi baharu itu bagaimanapun didakwa peniaga tidak sesuai serta berisiko dilanda banjir, sekali gus menyukarkan peniaga menjana pendapatan.
BACA JUGA Perbalahan Bersatu-Pas diperhati rakyat