Dianggap seperti ahli ‘baharu’, rupanya ini status 3 ADUN Pas ditamatkan keahlian
Ahli baharu. Itu status yang diberikan kepada tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang mengemukakan permohonan untuk menyertai semula parti yang dalam kemelut berpanjangan itu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu akan memproses permohonan Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) mengikut prosedur standard yang ditetapkan.
Menurutnya, beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi pejabatnya masih belum menerima permohonan itu secara rasmi.
“Saya dimaklumkan ketiga-tiga mereka telah mengemukakan permohonan baharu sebagai ahli Pas.
“Saya telah dimaklumkan, tetapi pejabat saya belum menerima apa-apa (permohonan) secara rasmi lagi.
“Saya hanya dimaklumkan oleh sekretariat Majlis Syura semalam,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Takiyuddin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat sebuah gudang yang musnah dalam kebakaran di Jalan Kebun Sultan di Kota Bharu hari ini.
Beliau menambah proses berkenaan akan melalui langkah biasa sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pas Pusat untuk dibuat keputusan.
“Keputusan sama ada permohonan itu akan diluluskan atau tidak akan dibuat oleh kepimpinan pusat parti.
“Di situlah akan diputuskan sama ada mereka diterima atau sebaliknya,” katanya lagi.
Semalam, Majlis Syura Pas dilapor akan menyerahkan kepada kepimpinan pusat parti untuk membuat keputusan berhubung rayuan yang dikemukakan oleh tiga bekas ADUN Perlis terbabit yang dipecat ketika krisis politik negeri berkenaan bulan lalu.
Terdahulu, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berhubung keputusan Majlis Syura Ulama yang menerima kembali tiga ADUN Perlis terbabit yang dilucut keahlian, ditarik balik.
BACA JUGA Rojak buah timbang dengan kuah, harga pergi Mekah balik hari