Lain macam…jualan di 9 stesen minyak di sempadan Kelantan jatuh mendadak lepas diawasi KPDN

Sembilan stesen minyak di kawasan berhampiran sempadan Kelantan merekodkan penurunan jualan secara mendadak, walaupun sebelum ini merekodkan antara jualan tertinggi yang berkemungkinan berkait dengan isu penyelewengan petrol dan diesel.

Perubahan ini dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas agensi penguatkuasa itu meletakkan pegawai-pegawainya di sembilan stesen berkenaan untuk pemerhatian.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata stesen minyak yang terlibat di bawah pemantauan adalah di empat daerah iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli.

“Kami di Kelantan memantau setiap hari jualan membabitkan stesen minyak. Daripada graf yang diperoleh apabila menunjukkan jualan tinggi, kita akan hantar pegawai untuk berada di stesen berkenaan sama ada berlaku penjualan dengan betul atau sebaliknya.

“Hasil dapatan apabila meletakkan pegawai, hasil jualan boleh dikatakan menurun mendadak dan kita tidak menolak kemungkinan berlaku penyelewengan walaupun ada lokasi jualan tinggi disebabkan penduduk yang ramai.

“Penyelewengan mungkin dilakukan pengusaha stesen minyak itu sendiri atau pengguna yang melakukan pembelian berulang,” katanya pada sidang media semalam.

BACA JUGA Isu BestiNet dah berlarutan sejak 2018 bukan ciptaan Kerajaan MADANI