Murid kena buli mengadu depan Saifuddin, Ketua Polis Kedah

Satu isu buli telah sampai ke pengetahuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Abdullah ketika lawatannya ke Kedah dan menyantuni penduduk setempat di Kampung Labu Besar, Kulim, kelmarin.

Isu itu disampaikan terus oleh keluarga mangsa bersama kanak-kanak berkenaan yang kini tidak lagi ke sekolah kerana trauma dibuli.

Dalam pertemuan empat mata, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Labu Besar, itu mendedahkan kepada menteri dan Ketua Polis Kedah apa yang berlaku kepadanya.

“Bawa pisau juga? Depa (mereka) sorok dalam beg? Pisau ke kayu? Depa katok (pukul) abang dekat mana? Keluar pagar sekolah depa buat?,” soal beliau kepada murid terbabit.

Menurut maklumat awal, murid tersebut mendakwa dia dibuli oleh beberapa pelajar lain sehingga menimbulkan trauma dan ketakutan melampau, menyebabkan kanak-kanak itu enggan hadir ke sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan menjalankan siasatan susulan di sekolah berkenaan dalam masa terdekat selepas bapa murid berkenaan memaklumkan anaknya enggan ke sekolah kerana risau insiden buli berulang.

“Tak boleh tu, kena suruh pergi sekolah. Nanti kita betulkan,” katanya.

Sementara itu di media sosial, klip video pendek memaparkan Saifuddin berbual dengan kanak-kanak berkenaan menjadi tular.