Azam Baki perjelas ke mana perginya RM8.5 bilion hasil rampasan rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan ke mana perginya RM8.5 bilion wang yang dirampas daripada kes rasuah sepanjang tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua wang yang berjaya dirampas telah dipulangkan semula kepada kerajaan kerana tanggungjawab agensi itu tertumpu kepada proses penyitaan dan pelucutan aset hasil rasuah.

Bagaimanapun katanya, bukan tugas mereka untuk memastikan ke mana wang tersebut dibelanjakan kerana ia di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan (MOF).

“Tugas kami adalah untuk menyita dan seterusnya melucut hak wang itu kepada kerajaan di bawah MOF.

“Bukan tugas kami untuk memastikan ke mana wang itu dibelanjakan. Itu adalah tanggungjawab MOF,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berhubung pemulihan RM8.5 bilion hasil haram oleh SPRM.

Badan pemerhati rasuah itu berkata, hasil rampasan itu hanya akan memberi makna sekiranya wang digunakan secara telus, memberikan manfaat nyata kepada rakyat serta disusuli dengan hukuman tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025, SPRM merekodkan kejayaan besar apabila berjaya merampas dan memulihkan hasil rasuah berjumlah lebih RM8.5 bilion.

BACA JUGA RM179 juta berjaya diselamatkan, Ops Tiris bukti Kerajaan MADANI perangi penyelewengan subsidi