Jijik, pekerja nasi kandar kantoi basuh sisa makanan pelanggan dan gunakan semula
Sebuah restoran nasi kandar di Seremban didakwa menggunakan lebihan makanan pelanggan untuk dihidangkan semula kepada pelanggan lain.
Perbuatan pekerja kedai makan itu disaksikan oleh orang awam yang kebetulan berada di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 12 malam semalam sebelum video mengenainya dimuat naik di media sosial.
Menurut perkongsian individu itu, pekerja nasi kandar berkenaan telah membasuh sisa sisa makanan pelanggan sebelum digunakan kembali pada keesokan harinya.
“Ketika itu seorang pekerja sedang mencuci baki makanan seperti daging ayam, daging kambing, tauhu dan ayam yang jelas lebihan masakan, kemudian diasingkan ke dalam dulang.
“Pada mulanya, rakan pekerja lain cuba mengelirukan saya dengan jawapan yang tidak jujur, namun akhirnya tersasul dan mengaku bahawa makanan tersebut memang akan dimasak semula dan dikatakan ‘tidak bahaya’.
“Saya ingin tegaskan bahawa perbuatan ini langsung tidak beretika, tidak selamat, dan sangat menjijikkan,” katanya.
Ujarnya lagi, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana yakin perbuatan seperti itu bukan kali pertama dilakukan oleh pekerja kedai tersebut.
“Mohon orang ramai kongsi hantaran ini supaya lebih ramai sedar dan kejadian sebegini tidak terus berlaku serta membahayakan pengguna lain,” katanya.