Bersubahat dengan ‘geng plastik hitam’, ini penegasan Timbalan Mufti Perak
Timbalan Mufti Negeri Perak, Datuk Zamri Hashim mengingatkan golongan peniaga makanan beragama Islam supaya tidak bersubahat dengan ‘geng plastik hitam’.
Tegasnya, tindakan menjual makanan dan minuman pada siang hari sepanjang bulan Ramadan kepada golongan yang sengaja tidak berpuasa itu dianggap sebagai berdosa.
“Menjual makanan kepada mereka yang tidak mampu berpuasa seperti kanak-kanak adalah dibenarkan.
“Namun, jika menjual kepada mereka yang sengaja tidak berpuasa, ia dianggap bersubahat dan berdosa.
“Kami berharap perkara ini dapat dikurangkan dan umat Islam lebih peka kerana ia melibatkan pelaksanaan salah satu daripada rukun Islam,” katanya.
Zamri berkata demikian dalam sidang akhbar Pengumuman Zakat Fitrah Negeri Perak 1147H/2026M di Ibu Pejabat Zakat Perak Al-Ridzuan (Zapar), di Ipoh hari ini.
Dalam masa sama, beliau menyarankan agar umat Islam memainkan peranan masing-masing untuk menegur atau menasihati peniaga mahupun pembeli daripada melakukan perbuatan sedemikian.
“Berhubung isu makan di siang hari pada bulan Ramadan, ini merupakan fenomena yang berlaku setiap tahun dan ia berkait rapat dengan iman seseorang.
“Ia tidak boleh dipaksa, namun kita mengharapkan peranan masyarakat untuk menegur atau menasihati mereka,” tegas beliau lagi.
BACA JUGA RM179 juta berjaya diselamatkan, Ops Tiris bukti Kerajaan MADANI perangi penyelewengan subsidi