Pengerusi PN akan dipilih dalam kalangan pimpinan Pas, Takiyuddin tegaskan sekali lagi

Pengerusi Perikatan Nasional seterusnya akan dipilih dalam kalangan pimpinan kanan Pas, setiausaha agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan sekali lagi.

Beliau memberi jaminan bahawa ia akan dibuat menerusi perbincangan dalam kalangan komponen PN.

“Dari perspektif Pas, calon tersbut perlulah menjadi pemimpin tertinggi atau pemimpin kanan parti. Bagaimanapun keputusan akhir akan dibuat dalam mesyuarat yang dihadiri pimpinan kanan.

“Sama ada ia adalah pemimpin tertinggi atau tidak, kita tunggu dan lihatlah,” kata Takiyuddin yang juga ialah Ahli Parlimen Kota Bharu.

“Bagaimanapun, pengerusi PN tidak semestinya presiden parti. Jika dia presiden ia hanya kebetulan, bukan syarat wajib. Secara prinsip sesiapa pun boleh dipilih asalkan ia dipersetujui oleh pimpinan.”

Tan Sri Mahiaddin Yassin telah meletakkan jawatan pada 1 Jan. Sejak itu, Pas dan Bersatu masih gagal untuk melantik pimpinan untuk mengisi kekosongan di dalam blok pembangkang persekutuan tersebut.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Moktar ialah antara nama-nama yang dikatakan akan mengambil alih jawatan tertinggi PN.

Mahiaddin sendiri berpendirian bahawa hanya presiden parti komponen yang boleh menjadi pengerusi PN.

Anggota komponen lain – Gerakan dan MIPP lebih cenderung menyokong Bersatu berbanding Pas untuk jawatan tertinggi PN.

BACA JUGA: Konflik Pas-Bersatu: Tiada perang, tiada gencatan senjata?