Terus meroket, ringgit kini RM3.92 berbanding dolar AS

Ringgit hari ini mencapai paras RM3.92 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus mengatasi beberapa mata wang serantau ASEAN.

Pada 6 petang tadi, ringgit mengukuh semula kepada 3.9295/9360 berbanding dolar AS daripada 3.9440/9500 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Dagangan disambung semula hari ini selepas pasaran ditutup semalam sempena hari kelepasan am gantian susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam pada Ahad 1 Februari 2026.

Menurut Bernama yang memetik Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pengukuhan ringgit yang berterusan mencerminkan keyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan tahun ini.

“Oleh itu, para pedagang dan pelabur kekal positif terhadap ringgit hari ini, dengan mata wang tempatan meningkat sebanyak 0.41 peratus,” katanya.

Ringgit didagangkan lebih kukuh berbanding mata wang negara serantau ASEAN.

Unit tempatan lebih teguh berbanding dolar Singapura kepada 3.0919/0973 daripada 3.1077/1127 ketika ditutup Jumaat minggu lepas, dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.4584/4845 daripada 12.5250/5544.

Mata wang domestik lebih stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 234.5/235.0 daripada 234.9/235.4, serta tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.67/6.68 daripada 6.69/6.71.

BACA JUGA MP Pas tukar nama program Jualan Rahmah kepada “Jualan Prihatin Rakyat”?