Anak Muammar Gaddafi maut ditembak
Saif al-Islam Gaddafi, anak bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, terbunuh semalam selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu rumahnya di bandar Zintan, barat Libya.
Lapor Al-Jazeera, Saif al-Islam, yang berusia 53 tahun ketika dibunuh, merupakan anak kedua Gaddafi dan menetap di Zintan sejak 2011.
Pada mulanya, Saif dipenjarakan, sebelum dibebaskan pada 2017 dan hidup sebagai orang bebas, sambil merancang untuk kembali ke arena politik.
Sementara itu, peguam Allahyarham, Marcel Ceccaldi mengesahkan Saif dibunuh semalam pada jam 2.00 petang (1200 GMT) oleh empat lelaki komando.
Ceccaldi berkata, seorang rakan rapat Saif pernah memaklumkannya beberapa hari sebelum kejadian bahawa keselamatan Saif berada dalam keadaan berisiko.
“Ketua kabilah Kadhafi malah menawarkan untuk menghantar pengawal bagi melindunginya, namun Seif menolak tawaran itu,” katanya, dipetik AFP.
Menurut penasihat Saif, Abdullah Othman Abdurrahim, empat lelaki tidak dikenali itu menyerbu rumah Allahyarham, mematikan kamera keselamatan, sebelum menembaknya mati.
Sebelum ini, Saif dilihat sebagai bakal pengganti bapanya dan pernah mengumumkan hasrat bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2021 tetapi pilihan raya itu ditangguhkan tanpa tarikh baharu.
Beliau juga pernah menjadi sasaran waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.
Malah, Saif pernah dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah Libya sebelum diberikan pengampunan.
BACA JUGA Penjelasan isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia hari ini perbetul kekeliruan