DBKL jawab isu tatakelola lemah, mundur, jamin SOP lebih baik dalam masa sebulan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil memberi penjelasan berhubung isu tatakelola dan laporan yang mendakwa pengurusan serta pemantauan pelbagai kontrak oleh DBKL dilihat lemah dan ‘mundur’,
Dalam satu kenyataan, DBKL berkata ketika ini mereka sedang mengemaskini dan menyediakan standard operasi prosedur (SOP) yang lebih baik dalam tempoh sebulan bagi menambahbaik tadbir urus dan integriti pengurusan bandar raya.
Langkah itu diambil susulan pembentangan penambahbaikan tatakelola oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM kepada DBKL baru-baru ini.
Ia juga sebagai respon kepada laporan portal tempatan bahawa pengurusan dan pemantauan pelbagai kontrak oleh DBKL dilihat lemah dan ‘mundur’, tidak setanding dengan pelbagai pembangunan dan pengiktirafan yang diterima bandar raya ini.
Menurut DBKL, ketika pembentangan tatakelola oleh SPRM pada 29 Januari lalu, beberapa aspek telah disentuh melibatkan penambahbaikan tatakelola.
Antaranya berkaitan pengurusan pelaksanaan projek, pengurusan bazar perayaan, pengurusan dan pemantauan kontrak, pengurusan kutipan sewa PA/PPR, serta tadbir urus kejohanan sukan.
Bagi pengurusan bazar perayaan, DBKL telah pun menyediakan SOP memandangkan tempoh pelaksanaan Bazar Ramadhan adalah dalam tempoh dua minggu lagi.
“Selain itu, satu Jawatankuasa Pemantauan Pengurusan Bazar telah ditubuhkan dan bersidang sekurang-kurangnya seminggu sekali atau lebih kerap mengikut keperluan.
“Jawatankuasa ini berperanan untuk memantau tatakelola dan pematuhan SOP, menyelaras tindakan penguatkuasaan, melaksanakan pembatalan lesen jika perlu, serta menjalankan penilaian prestasi penjaja,” ujarnya.
SOP tersebut merangkumi perkara-perkara seperti tatacara proses permohonan, agihan tapak, kawalan serta tindakan penguatkuasaan, dan hal-hal lain yang berkaitan dengan pengurusan bazar.
“Bagi perkara-perkara lain yang turut dibincangkan dalam sesi tersebut, DBKL dalam tindakan mengemaskini dan menyediakan SOP berkaitan dalam tempoh sebulan sebagai langkah penambahbaikan berterusan ke arah memperkukuh tadbir urus dan integriti pengurusan bandar raya,” tambah kenyataan itu lagi.
BACA JUGA Penjelasan isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia hari ini perbetul kekeliruan