KPKT Raih Penghargaan Diraja, Prestasi 2025 Dipuji di Istana Negara

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menutup tirai 2025 dengan satu pengiktirafan bermakna apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Istana Negara.

Pertemuan itu bukan sekadar istiadat, tetapi simbol pengiktirafan tertinggi terhadap prestasi dan hala tuju kementerian dalam mengurus agenda perumahan serta kesejahteraan bandar.

Dalam sesi tersebut, Baginda dipersembahkan Kad Laporan KPKT 2025 bertajuk “KPKT Dekat Di Hati”.

Laporan itu merangkum pencapaian sepanjang tahun lalu yang menyaksikan kementerian berkenaan menerima pujian atas pelaksanaan dasar yang konsisten, berimpak dan dekat dengan keperluan rakyat.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan KPKT meraih pengiktirafan di peringkat global, termasuk Anugerah Pembangunan Negara.

Turut diumumkan, Baginda berkenan menyempurnakan Sambutan Hari Bomba Sedunia 2026 di Johor pada Mei ini sempena Jubli Emas Penyatuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Acara berskala besar itu dijangka menghimpunkan lebih 20,000 pengunjung, sekali gus mengangkat peranan pasukan bomba sebagai tunjang keselamatan awam negara.

Dari sudut prestasi, angka yang dibentangkan tidak kecil.

Sepanjang 2025, KPKT merekodkan penyediaan lebih 511,000 unit rumah mampu milik, di samping memulihkan projek perumahan terbengkalai yang sekian lama menjadi beban pembeli.

Reformasi perumahan MADANI turut digerakkan, merangkumi pembinaan kemudahan komuniti, taman rekreasi bandar dan penutupan tapak sampah haram yang mencemar alam sekitar.

Di peringkat antarabangsa, kepimpinan KPKT terserlah apabila Malaysia berjaya menerajui UN-Habitat, selain menerima Anugerah Khas Sifar Sisa di Turkiye.

Pencapaian ini bukan sahaja meningkatkan reputasi negara, malah meletakkan Malaysia sebagai rujukan dalam tadbir urus bandar mampan.