‘Pandai dia keluar modal pelekat saja’, ADUN Pas didakwa ‘tutup muka’ MB Perak
Selepas kecoh seorang Ahli Parlimen Pas dikatakan ‘merampas’ program Jualan Rahmah, tular pula tindakan selamba Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu yang didakwa menampal pelekat bergambar wajahnya pada kotak bantuan makanan.
Tindakan Amin Roslan juga wakil rakyat dari Pas yang dilihat tergamak menutup wajah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu dilihat mengundang kritikan orang ramai.
Pemerhati politik, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mendedahkan hal tersebut yang secara sinis disifatkannya sebagai “luar biasa hebat”.
Hasnul yang juga bekas ADUN Titi Serong berpendapat tindakan itu bercanggah dengan kritikan terhadap kerajaan negeri apabila Menteri Besar Perak menarik balik kemudahan peruntukan bantuan kotak makanan kepada pejabat-pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang.
“Apabila YAB MB tarik balik kemudahan peruntukan bantuan kotak makanan kepada pejabat-pejabat DUN pembangkang, hangpa memekik “kerajaan tidak adil..’,” tempelak Hasnul.
Dalam masa sama, rata-rata menyifatkan wakil rakyat Pas dilihat terdesak untuk cuba meraih keuntungan politik daripada bantuan yang dibiayai menggunakan peruntukan kerajaan.
Orang ramai turut mengingatkan bahawa sebarang bentuk bantuan kepada rakyat tidak harus dijadikan medan propaganda politik kepartian.
Tindakan pemimpin Pas di peringkat negeri itu juga dibimbangi boleh menghakis kepercayaan awam terhadap institusi dan pentadbiran kerajaan.
Malah, warganet turut memberitahu bukan sedikit projek Kerajaan Persekutuan di Kelantan disangkakan projek kerajaan negeri.
“Pandai dia keluar modal pelekat saja.
“Puak sangap kuasa dan imbuhan dunia, buat kerja tak tau, hanya mahu claim kredit kerja orang lain.
“Macam mana nak perintah negara ni, ustaz-ustaz sekalian? Cubalah jujur.
“Dah kering modal untuk kebajikan kepada rakyat ke?” demikian antara kecaman orang ramai di media sosial.
BACA JUGA MP Pas tukar nama program Jualan Rahmah kepada “Jualan Prihatin Rakyat”?