Penjelasan isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia hari ini perbetul kekeliruan

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat penjelasan terperinci mengenai isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia pada sesi Parlimen pagi ini.

Perdana Menteri berkata, penjelasan itu bertujuan memperbetulkan kekeliruan masyarakat berhubung isu berkenaan.

“Isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia akan saya jelaskan secara terperinci dalam Sesi Penerangan Khas di Parlimen pagi ini.

“Semoga penjelasan ini memberi manfaat kepada semua, khususnya bagi memperbetulkan kekeliruan dan salah faham yang telah timbul dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam media sosialnya, hari ini.

Sesi Penerangan Khas Parlimen tersebut dijadualkan berlangsung pada 11.30 pagi ini menerusi RTM, Bernama, Media Prima, Awani, TV Hijrah, TV Sarawak serta beberapa platform lain.

Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan Malaysia masih menjalankan rundingan secara harmoni dengan Indonesia berhubung isu pengukuran sempadan darat membabitkan tiga kampung di Kalimantan Utara, Indonesia.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya Malaysia telah menyerahkan tanah kepada republik itu.

BACA JUGA DJ majlis kahwin Nurul Izzah dedah detik pilu, kini bangga lihat…