PM perjelas penentuan sempadan Malaysia-Indonesia

Perdana Menteri menjelaskan penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan, timbal balik atau untung rugi seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia termasuk tiga kampung di Nunukan, Kalimantan Utara, bersandarkan kepada konvensyen dan perjanjian ditetapkan.

Menurutnya, asas penentuan sempadan darat antarabangsa Malaysia dengan Indonesia adalah berdasarkan kepada dua konvensyen dan satu perjanjian iaitu Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda 1891 bagi keseluruhan Sabah dan Sarawak.

“Bagi Sabah, perjanjian persempadanan antara kerajaan British dan kerajaan Belanda dan untuk sebahagian kecil sektor di Sarawak, ia membabitkan Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda yang ditandatangani di Hague pada 26 Mac 1928,” kata beliau di Parlimen pagi ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa dakwaan Malaysia menyerahkan seluas 5,207 hektar sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan jika tidak pun tidak dengan niat jahat sama sekali.

“Jadi, sebab itu kita harus terikat dengan perjanjian dan yang (kawasan) dipertikai itu, saya lihat di peta di bahagian bawah adalah kawasan dari awal sejak (perjanjian) 1915 ditekankan dalam semua rekod kita.

“Itu tidak kita sahkan tapi tak pernah kita tuntut sebagai milik Malaysia,” kata Anwar.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan hal-hal berkaitan kepentingan negara termasuk isu sempadan harus dibincangkan secara berhemah.

“Saya tidak ada masalah mana-mana ahli pembangkang untuk bertanya tetapi saya bantah keras tuduhan dan fitnah yang kita khianat kepada negara,” tegas Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Berpuluh tahun elok kerja di negeri DAP tapi… : Sikap pengundi Kelantan dipersoal