Anwar seru mahasiswa pilih jalan damai, tolak politik kebencian

FOTO BERITA: Program Temu Anwar bersama pelajar Tunku Abdul Rahman University Of Management And Technology (TAR UMT) di TAR UMT, Setapak, Kuala Lumpur. 4hb Februari 2026 (Rabu)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masa depan Malaysia bergantung kepada keberanian generasi muda untuk memilih jalan damai, muafakat dan kebersamaan, bukannya terperangkap dalam sentimen kebencian, perpecahan kaum dan politik sempit.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Program Temu Anwar bersama pelajar Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) di kampus Setapak.

Menurut Anwar, kehadirannya bukan sekadar untuk berucap, sebaliknya untuk berdialog dan mendengar sendiri pandangan mahasiswa.

“Bila saya sebut dialog, maknanya saya bercakap dan saya juga mendengar. Kalau hanya saya bercakap tanpa mendengar, itu monolog. Dan saya tidak mahu monolog. Saya mahu mendengar suara anak muda,” katanya.

Anwar menyifatkan TAR UMT sebagai lambang usaha meningkatkan mutu pendidikan negara, sambil menegaskan bahawa pendidikan bukan perkara kecil, tetapi asas penting dalam membentuk generasi yang mampu berfikir secara matang serta membuat pilihan terbaik untuk negara.

Mengimbas pengalaman membesar dalam suasana negara yang pernah dilanda ketegangan isu bahasa, budaya dan kaum, beliau mengajak mahasiswa berhenti sejenak untuk menilai hala tuju yang ingin dipilih.

“Adakah kita mahu terus memelihara sentimen permusuhan dan perpecahan, atau memilih jalan yang lebih sukar iaitu jalan damai, jalan muafakat dan jalan membina negara bersama?” soalnya.

Beliau mengingatkan bahawa terdapat negara di dunia yang memilih untuk mengekalkan permusuhan sehingga akhirnya musnah, sedangkan pemimpin awal kemerdekaan Malaysia memilih jalan yang sukar tetapi lebih damai dan inklusif.

Anwar turut menegaskan bahawa pendekatan memainkan sentimen kaum mungkin mudah mendapat sokongan di sesuatu tempat, namun ia bukan jalan menyelamatkan negara.

“Anak-anak mahasiswa mesti berani memilih jalan yang terbaik, bukan yang paling popular. Jalan yang boleh mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara hebat di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui perbahasan di Parlimen kadangkala memperlihatkan kurang sensitiviti terhadap kepelbagaian masyarakat, dan perkara itu tidak harus diwarisi oleh generasi muda.

“Ada perkara yang boleh dipelajari daripada generasi lama, tetapi ada juga yang tidak perlu diwarisi. Jangan warisi budaya rasuah, kebencian kaum, kebencian agama dan budaya menghina orang lain,” tegasnya.

Beliau menambah, keberanian sebenar bukanlah dengan menjerit atau mencetuskan provokasi, sebaliknya keberanian untuk memilih perkara yang benar walaupun tidak popular dan mungkin menerima tentangan.

Anwar berkata, kepelbagaian wajah mahasiswa yang hadir mencerminkan wajah sebenar masa depan Malaysia, dan beliau yakin golongan muda mampu membuat pilihan yang tepat demi kesejahteraan negara.

“Masa depan Malaysia bukan ditentukan oleh siapa yang paling kuat menjerit, tetapi oleh siapa yang paling bijak memilih,” katanya.