31 mangsa terlibat dalam nahas bas ekspres dengan lori 10 tan, treler

Awal pagi tadi berlaku nahas tiga kenderaan membabitkan sebuah bas ekspres, lori 10 tan dan sebuah treler di Kilometer 433 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Hulu Selangor

Dalam kemalangan pada jam 5.12 pagi itu, seramai 31 orang terlibat dan cedera.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, mangsa di dalam bas ekspres terdiri daripada 14 lelaki, lima wanita, tujuh kanak-kanak dan dua pemandu.

“Seorang daripada pemandu iaitu lelaki berusia 39 tahun cedera di kaki dan berjaya dikeluarkan anggota bomba pada 6.05 pagi, manakala beberapa mangsa lain cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Mukhlis berkata, bagi lori 10 tan pula pemandunya iaitu seorang lelaki warga tempatan didapati tersepit, dan belum dikenal pasti status kecederaan.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan. Sementara kelindannya iaitu lelaki berusia 39 tahun hanya cedera ringan,” katanya.

Manakala untuk treler pula, beliau memaklumkan pemandunya hanya cedera ringan di bahagian leher.

Jelasnya, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.