Bekas guru pendidikan Islam tegur reaksi emosi MP Pas
Isu sebutan Alhamdulillah oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, di Dewan Rakyat baru-baru ini mencetuskan polemik yang tidak kecil.
Lafaz pujian kepada Allah yang diungkapkan secara sopan dan beradab itu menerima reaksi keras daripada Ahli Parlimen Rantau Panjang, Zailah Mohd Yusoff, sehingga ada pihak melabelkannya sebagai tidak wajar serta menyinggung sensitiviti agama.
Menurut Mohd Fadhli Othman yang merupakan mantan Guru Pendidikan Islam Sekolah Rendah, reaksi sedemikian mencerminkan kegagalan memahami realiti pendidikan dan dakwah dalam masyarakat majmuk.
Beliau mengimbau pengalamannya mengajar di sekolah kebangsaan yang menempatkan murid daripada pelbagai latar bangsa dan agama termasuk Melayu, Cina dan India dalam suasana yang sederhana serta harmoni.
Kata beliau, tidak pernah timbul rasa terancam apabila murid bukan Islam menyebut Alhamdulillah dengan penuh adab.
Lafaz tersebut tidak diajar secara khusus dan tidak pernah dipaksa.
Ia lahir secara semula jadi hasil kebiasaan mendengar serta pengaruh persekitaran yang menghormati nilai agama.
Dalam konteks pendidikan, peristiwa seperti itu dianggap sebagai benih kebaikan dan ruang dakwah yang hidup, bukan ancaman terhadap akidah.
Pendekatan tersebut, menurut beliau, selari dengan wajah Islam yang mendidik melalui hikmah, teladan dan akhlak.
Namun pendekatan ini kelihatan semakin pudar dalam sebahagian wacana politik hari ini.
Apabila lafaz yang sama diungkapkan di Parlimen dengan tertib dan niat yang jelas, ia segera ditafsir secara negatif.
Persoalan yang wajar ditanya ialah sama ada penghinaan itu benar benar wujud atau sekadar dibina melalui prasangka.
Lebih menghairankan, terdapat ketidakseimbangan dalam mempertahankan kesucian agama.
Kenyataan berunsur mimpi bertemu Rasulullah yang pernah digunakan dalam konteks politik tertentu tidak pula ditegur dengan ketegasan yang sama.
Di sinilah prinsip kelihatan goyah dan sukar dipertahankan secara adil.
Teguran terhadap Nga Kor Ming, menurut Mohd Fadhli Othman, tidak mematangkan wacana Islam dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.
Sebaliknya ia memberi gambaran bahawa Islam sedang dipersempitkan menjadi alat sempadan politik yang menentukan siapa boleh menyebut kalimah tertentu dan siapa perlu dicurigai.
Islam tidak menjadi lemah kerana orang bukan Islam menyebut Alhamdulillah. Islam menjadi sempit apabila penganutnya sendiri cepat berasa terancam tanpa alasan yang jelas dan munasabah.
Jika di sekolah adab serta rasa hormat dapat diraikan, mengapa di Parlimen pendekatan yang diambil begitu berbeza.
Di sinilah peranan kepimpinan seharusnya lebih mendidik, menampilkan hikmah dan keadilan serta memperlihatkan keindahan agama dalam masyarakat majmuk.
BACA JUGA Tambah baik DBKL okay, tetapi jangan lempar kata nista kepada warga kerja