Jadual prosiding tidak boleh dianggap sebagai bukti sabitan kesalahan
Prosiding sambung reman bukanlah satu pertuduhan rasmi sebaliknya hanya sebahagian daripada prosedur siasatan yang dibenarkan oleh undang-undang.
Pengendali kumpulan Facebook ‘Dari D9 Ke Tahanan Tanpa Bicara’ menegaskan bahawa paparan tangkap layar tular memaparkan senarai kes di Mahkamah Majistret 1 melibatkan dua individu, iaitu Mohammad Ya’akub Yusra Mohd Yusof dan Nurul Shakirah Rosli, tidak boleh dianggap sebagai bukti sabitan kesalahan.

Berdasarkan maklumat yang tertera, prosiding pagi tadi dikendalikan oleh Majistret Noor Fazlina Musa di bawah kategori kes Pendakwa Raya.
Kumpulan itu berkata, berdasarkan maklumat tambahan yang diperoleh, salah seorang individu berkenaan telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehari sebelum tarikh prosiding dan kehadiran ke mahkamah adalah bagi tujuan sambung reman.
“Proses sambung reman merupakan satu permohonan lanjutan tempoh tahanan yang dibuat di hadapan majistret bagi membolehkan siasatan diteruskan sekiranya tempoh reman terdahulu tidak mencukupi,” kata pengendali kumpulan advokasi undang-undang itu.
Tegas organisasi tersebut, seseorang hanya dianggap didakwa apabila pertuduhan dibacakan secara rasmi di mahkamah.
Selaras dengan prinsip asas perundangan, tambahnya, setiap individu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui proses perbicaraan yang sah dan adil.
Jadual prosiding melibatkan Ya’akub Yusra dan Nurul Shakirah itu tegas aktivis perundangan berkenaan, tidak boleh dianggap sebagai bukti sabitan kesalahan.
Sehubungan itu, kumpulan itu menyeru supaya masyarakat meneliti maklumat secara menyeluruh sebelum membuat sebarang andaian.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pendakwah tersohor direman di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah hari ini.
Penahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana sebuah pusat pengajian agama terkemuka berjumlah kira-kira RM600,000.
Sebelum ini, pengasas sebuah pusat pengajian agama terkemuka di daerah Kuala Muda itu pernah disiasat SPRM berhubung tuduhan mengutip dana awam dan melakukan penyelewengan kutipan derma bagi kegunaan peribadi.
BACA JUGA Pendakwah tersohor disyaki seleweng dana awam RM600,000