Kemajuan negara hanya bermakna jika dirasai rakyat – Anwar
Perdana Menteri menegaskan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak boleh diukur hanya melalui angka dan statistik semata-mata, sebaliknya ia hanya bermakna apabila dirasai oleh rakyat.
Dalam ucaptama beliau pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 petang tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa pembangunan negara perlu membuka ruang mobiliti sosial.
Ia juga, katanya, perlu menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan yang bermakna, serta menjamin kehidupan yang lebih terjamin dan bermaruah bagi setiap rakyat.

“Walhasil, iltizam Kerajaan MADANI untuk mengubah nasib rakyat bermula dengan reformasi tatakelola lantas melahirkan kepercayaan pelabur dan mewujudkan kemajuan berkekalan,” kata beliau.
FEM 2026, menurut Perdana Menteri, menjadi wadah penting untuk membahas secara terbuka cabaran ekonomi yang semakin mendesak.
Ini termasuk jelasnya, kemajuan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), jurang kekayaan yang melebar, serta implikasi perubahan iklim terhadap kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah, jika kita berpegang teguh kepada amanah untuk melakukan yang terbaik demi rakyat, Malaysia akan terus mara dengan yakin, berdisiplin dan terhormat,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Malaysia sedang tuntut tempat sebagai Harimau Asia, momentum ekonomi terus kukuh