Kluster tibi di Kota Tinggi: 6 murid disahkan positif

Terdapat enam kes tuberkulosis atau tibi di Kota Tinggi membabitkan murid termasuk dua perempuan yang disahkan hasil daripada saringan kontak rapat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, bagaimanapun tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan susulan wabak tersebut.

“Semua murid terbabit sudah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan sewajarnya dan kini berada dalam pemantauan rapi KKM mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Aznan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi turut turun ke sekolah-sekolah terbabit bagi mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan bersama pengurusan sekolah.

Katanya, sesi itu bertujuan memberi penjelasan mengenai penyakit tibi selain langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pihak sekolah, murid dan ibu bapa.

“Pada masa sama, semua sekolah perlu sentiasa mematuhi garis panduan dan arahan dikeluarkan KKM, termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid serta tindakan susulan yang disarankan,” jelasnya.

Sebelum ini, dilaporkan satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga semalam.

Satu kematian dilaporkan dalam kluster tersebut tetapi disahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus berkata, kluster wabak itu membabitkan lokaliti Felda Sungai Mas, Bandar Mas dan Felda Papan Timur, yang semuanya berada dalam keadaan terkawal sehingga hari ini.

BACA JUGA Tergamak seleweng RM4.2 juta untuk Gaza, setiausaha NGO terkenal ditahan SPRM