Malaysia sedang tuntut tempat sebagai Harimau Asia, momentum ekonomi terus kukuh
Malaysia kembali meraih momentum ekonomi dan sedang menuntut semula kedudukannya sebagai Harimau Asia di pentas serantau dan global.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pencapaian ini didorong oleh pelaksanaan reformasi asas serta peningkatan keyakinan antarabangsa.
Menurutnya, keraguan terhadap keupayaan Malaysia untuk melakukan pemulihan ekonomi dua tahun lalu kini semakin pudar.
Ia, jelasnya, digantikan dengan pengiktirafan terhadap peningkatan ketara dalam asas ekonomi, tadbir urus serta kejelasan dasar.
“Bagi saya, mesejnya jelas, Malaysia sudah kembali dan Malaysia sedang menuntut semula tempatnya sebagai Harimau Asia.
“Mereka (pelabur) dapat melihat perubahan asas yang telah kami laksanakan, serta keyakinan dan sokongan yang diterima Malaysia daripada komuniti antarabangsa,” jelasnya.
Amir Hamzah berkata demikian pada sesi dasar fiskal dan monetari bersama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, di sela Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, sokongan komuniti antarabangsa itu mencerminkan hala tuju dasar yang lebih jelas serta asas ekonomi yang semakin kukuh, sambil menegaskan bahawa tumpuan kini perlu diberikan sepenuhnya kepada pelaksanaan.
“Saya fikir kejelasan perancangan sudah ada. Apa yang kita perlukan sekarang ialah pelaksanaan yang baik.
“Sebab itu, tahun ini dan tahun depan adalah mengenai pelaksanaan, bukan sekadar merancang atau berangan-angan,” kata beliau.
Tambahnya, dari sudut kerajaan, kerjasama rapat dengan BNM akan terus diperkukuh bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat dikekalkan, di samping menjamin aspek keterangkuman.
Katanya lagi, kerajaan kekal komited melaksanakan kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan siling dan lantai ekonomi negara.
Langkah tersebut, ujarnya, meletakkan Malaysia pada landasan kukuh untuk mencapai status negara maju menjelang 2030.
BACA JUGA Tergamak seleweng RM4.2 juta untuk Gaza, setiausaha NGO terkenal ditahan SPRM