Yahooo, minggu depan masuk SARA RM100 lagi

Program SARA Untuk Semua dengan sumbangan RM100 kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan mula disalurkan bermula Isnin, 9 Februari ini, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh warganegara yang layak.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata semakan kelayakan bagi bantuan sekali beri melalui MyKad itu boleh dibuat mulai hari ini dengan melayari portal sara.gov.my.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM2.2 bilion disediakan bagi memanfaatkan semua warganegara tanpa perlu membuat sebarang permohonan dan bantuan itu akan dikreditkan secara automatik ke MyKad penerima.

“Tiada permohonan diperlukan dan ia akan dikreditkan secara automatik ke MyKad masing-masing serta sah digunakan sehingga 31 Disember 2026,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 dan nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan.

Program tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang bertujuan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup melalui bantuan bersasar tanpa tunai.

BACA JUGA Aksi jemaah berjubah putih bersama ‘pistol’ cetus tanda tanya