Jurang Import-Eksport makanan kian mengecil, Malaysia menuju berdikari

FOTO BERITA: Program “MADANI Agro Excellence Awards 2025/2026” bersama YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Turut hadir YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri KPKT di Concorde Hotel Shah Alam, Selangor. 5hb Februari 2026 (Khamis)

Sektor pertanian dan agromakanan terus diberi penekanan sebagai tunjang utama keterjaminan makanan negara menerusi penganjuran program “MADANI Agro Excellence Awards 2025/2026” yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Concorde Hotel Shah Alam, malam tadi.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, barisan duta dan wakil diplomatik asing, pimpinan agensi, pengusaha industri agro, usahawan agropelancongan serta pemain utama rantaian nilai makanan negara.

Dalam ucapannya, Mohamad Sabu menegaskan bahawa isu keterjaminan makanan kini menjadi semakin kritikal susulan perubahan iklim yang tidak menentu serta ketidaktentuan geopolitik global yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan dunia.

Beliau merujuk kepada kejadian banjir besar di selatan Thailand serta bencana banjir lumpur di Sumatera, Aceh sebagai contoh nyata bagaimana faktor cuaca ekstrem mampu mengganggu ekosistem bekalan makanan serantau.

“Kebergantungan antara negara dalam rantaian bekalan makanan sangat tinggi. Justeru Malaysia mesti bersiap siaga dan memperkukuh keupayaan berdikari dalam pengeluaran makanan, walaupun dalam keadaan tertentu kita masih perlu mengimport komoditi yang tidak sesuai ditanam di negara ini,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran MADANI Agro Excellence Awards amat bertepatan dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan keyakinan dalam memacu pembangunan sektor pertanian moden.

Anugerah tersebut menjadi platform pengiktirafan kepada petani, penternak, usahawan agro, penyelidik serta semua yang terlibat dalam rantaian nilai industri makanan negara, selain membuka ruang jaringan kerjasama dan ‘business matchmaking’ antara pemain industri tempatan dan wakil diplomatik luar negara yang hadir.

Mohamad Sabu turut menekankan perkembangan pesat sektor agropelancongan (agrotourism) yang semakin mendapat sambutan, khususnya dalam kalangan masyarakat bandar yang mencari pengalaman alam semula jadi di kawasan sawah, pesisir pantai dan persekitaran hutan.

Beliau turut menggesa lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian secara sepenuh masa dengan memanfaatkan teknologi moden bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

“Saya melihat sendiri bagaimana negara seperti China memanfaatkan teknologi moden dalam pertanian sehingga meningkatkan hasil secara drastik. Kita perlu bergerak pantas ke arah pemodenan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus komited memperkukuh sektor ini menerusi pemerkasaan teknologi, penglibatan usahawan baharu serta kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan NGO.

Menurutnya, nilai import dan eksport makanan Malaysia kini mencecah hampir RM70 bilion, namun jurang tersebut semakin mengecil seiring peningkatan hasil pengeluaran tempatan.

“Kita berharap suatu hari nanti keseimbangan antara import dan eksport makanan dapat dicapai, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam keterjaminan makanan dan daya saing global,” katanya.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada semua penerima anugerah yang disifatkan bukan sekadar satu penghormatan, tetapi amanah untuk terus menjadi peneraju kecemerlangan industri agromakanan negara.
