Pertikai wibawa UIAM: AMANAH gesa Pas mohon maaf, tarik balik kenyataan
AMANAH mengecam keras kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertikai kewibawaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam menjalankan kajian berkaitan cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Pemerkasaan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, UIAM bukanlah sebuah universiti yang terlalu “junior” seperti didakwa, sebaliknya telah ditubuhkan pada tahun 1983, menjadikannya sebuah institusi pengajian tinggi awam yang telah berkhidmat lebih empat dekad kepada negara.
Menurutnya, tindakan mempertikaikan UIAM bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan sikap politik yang anti-ilmu, anti-akademik dan anti-wacana berfakta.
“AMANAH menegaskan bahawa kajian akademik dijalankan berasaskan kaedah saintifik, kerangka analisis dan kebebasan akademik, agar ia bebas dari arahan atau kecenderungan mana-mana pihak berkepentingan.
“Kenyataan SU Agong Pas ini menimbulkan persoalan sama ada Pas hanya mengiktiraf kepakaran akademik apabila ia menguntungkan mereka, dan menolaknya apabila tidak. Sekaligus menimbulkan keraguan terhadap reputasi institusi akademik yang dihormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azli berkata, sikap Takiyuddin meragui kewibawaan UIAM dilihat sebagai cubaan melemahkan peranan universiti dan dapatan kajian ilmiah dalam menyumbang kepada pembentukan dasar awam dan reformasi institusi negara.
AMANAH mengingatkan bahawa merendahkan martabat mana-mana universiti awam sebelum kajian bermula hanya menguatkan persepsi bahawa Pas takut kepada fakta, data dan perbahasan terbuka.
Malah ia membina persepsi negatif yang menghakis keyakinan rakyat terhadap ilmu, kepakaran tempatan dan masa depan negara.
Jelasnya, isu pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah isu reformasi tadbir urus bandar yang serius dan memerlukan perbincangan matang, terbuka dan berfakta, bukan polemik politik sempit.
“Justeru, AMANAH menyeru Pas agar menarik balik kenyataan tidak berasas tersebut dan memohon maaf kepada warga UIAM, menghormati peranan institusi ilmu serta kembali berpolitik secara bertanggungjawab, beretika dan berasaskan fakta,” katanya lagi.