ADUN Pas cetus kemarahan ramai selepas dakwa tiada pengabaian kes warga emas dikurung

ADUN Apam Putra, Zamakhshari Muhamad dikecam pengguna media sosial selepas mendakwa tidak berlaku “pengabaian yang disengajakan” terhadap seorang warga emas yang didapati telah dikurung di dalam sebuah rumah kotor.

Warga emas tersebut ditemui dalam keadaan tidak bermaya di dalam rumah yang tidak terurus, malah fizikalnya juga sangat kurus dan tidak berdaya.

Namun dalam kenyataan yang dikeluarkan, ADUN Pas itu berkata, warga emas tersebut mempunyai masalah kesihatan mental dan tindakan mengurung dibuat oleh ahli keluarga atas faktor keselamatan, bagi mengelakkan mangsa mengganggu orang awam dan mendatangkan risiko kepada dirinya sendiri serta orang lain.

Justeru katanya, isu tersebut bukan kes pengabaian yang disengajakan, sebaliknya melibatkan situasi kesihatan mental yang memerlukan pendekatan berhemah, profesional dan berfakta, serta penglibatan agensi berkaitan. 

Beliau juga meminta orang ramai tidak membuat andaian atau membina naratif berdasarkan emosi dan visual semata-mata, kerana ia boleh menimbulkan salah faham serta tekanan tidak wajar kepada keluarga terlibat.

Respon itu bagaimanapun dikritik banyak pihak kerana dilihat cuba mempertahankan tindakan ahli keluarga yang mengurung warga emas berkenaan secara tidak berperikemanusian atas alasan ‘masalah mental

Mereka menyebut tentang gambar warga emas berkenaan yang sedang berlegar di media sosial, sambil mempersoal adakah ADUN tersebut tidak melihat bagaimana warga emas itu dibiarkan terlantar di lantai penuh pasir tanpa tilam atau tikar.

Lebih menyedihkan, keadaan di dalam rumah saling tidak tumpah seperti rumah tinggal yang sudah tidak selamat didiami.

Orang ramai mempersoalkan mengapa ADUN Pas berkenaan lambat mengambil tindakan sedangkan aduan telah dibuat lebih awal, sehingga kes itu hanya mendapat perhatian selepas seorang pempengaruh tampil menyelamatkan warga emas tersebut.

BACA JUGA Berita baik, kerajaan setuju beri diskaun tol 50 peratus sempena Tahun Baru Cina