Berita baik, kerajaan setuju beri diskaun tol 50 peratus sempena Tahun Baru Cina

Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar biasa sempena perayaan Tahun Baru Cina, umum Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Pelaksanaan diskaun ini akan bermula pada jam 12.01 tengah malam, 14 Februari 2026 (Sabtu) dan berakhir pada jam 11.59 malam, 15 Februari 2026 (Ahad).

Implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.5 juta.

“Pemberian diskaun tol 50% ini diharap dapat meringankan beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga atau bercuti untuk menyambut awal Ramadan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Inisiatif ini tertakluk kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang

Namun ia dikecualikan bagi plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA). 

Pemilihan tarikh tersebut bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya.

Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi menge-lakkan kesesakan lalu lintas. 

Pengguna disarankan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA dan TuJu Highway Navigation App LLM untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan. 

Selain itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan papan tanda, had laju, dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). 

Bagi mereka yang menggunakan lorong Smart Lane, anda diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut, memandu dengan kelajuan ditetapkan, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di Face-book, aplikasi X, TikTok, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752. 

Maklumat tambahan boleh didapati melalui laman sesawang rasmi LLM untuk paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.

BACA JUGA Malaysia jadi destinasi popular rakyat Singapura untuk berbelanja