Simbol Zaitun dari Palestin jadi medium Ppendidikan kemanusiaan – Nurul Izzah

FB Live… Majlis Pelancaran Buku Kanak-Kanak “The Olive Tree That Remembered” Puan Nurul Izzah Anwar, Executive Chairperson POLITY & Honorary Advisor, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), di Kompleks NasyruI Quran, Presint 14, Putrajaya. 6hb Februari 2026 (Jumaat)

Pelancaran buku kanak-kanak “The Olive Tree That Remembered” di Kompleks Nasyrul Quran, bukan sekadar acara penerbitan karya baharu, tetapi menjadi medan menyemai nilai kemanusiaan, ketahanan jiwa dan kesedaran sejarah kepada generasi muda.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Puan Nurul Izzah Anwar, Executive Chairperson POLITY merangkap Honorary Advisor Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), yang dalam ucapannya menekankan betapa simbol pohon zaitun yang diangkat dalam buku ini mempunyai makna mendalam dari sudut spiritual, sejarah dan kemanusiaan sejagat.

Beliau memulakan ucapan dengan merakamkan penghargaan kepada penganjur serta penulis buku, dan menyifatkan projek ini sebagai usaha bermakna yang perlu diperluas penyebarannya.

Menurut beliau, pohon zaitun bukan sekadar tumbuhan yang berusia ribuan tahun di bumi Palestin, tetapi lambang keteguhan akar budaya, identiti masyarakat dan hubungan spiritual dengan tanah yang diberkati

“Zaitun disebut dalam sunnah Rasulullah SAW, dianjurkan untuk dimakan buahnya dan digunakan minyaknya. Ia melambangkan keberkatan, ketahanan dan hubungan manusia dengan bumi yang didiaminya,” ujar beliau.

Nurul Izzah turut mengaitkan simbol tersebut dengan realiti semasa di Palestin, apabila kemusnahan pokok zaitun secara sistematik bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, tetapi merupakan usaha menghapuskan sejarah, identiti dan sumber kehidupan masyarakat setempat.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk “ecocide” — kemusnahan alam sekitar yang disengajakan sebagai alat penindasan yang lebih besar.

“Apabila pohon zaitun dimusnahkan, ia bukan sekadar merosakkan alam, tetapi memadam harapan, sejarah dan kelangsungan hidup satu bangsa,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa dunia hari ini berdepan pelbagai bentuk ketidakadilan, dan masyarakat tidak boleh lagi memilih untuk berdiam diri.

Menurut beliau, karya seperti The Olive Tree That Remembered penting kerana ia menyampaikan kebenaran melalui pendekatan yang lembut tetapi sarat makna, khususnya kepada kanak-kanak dan keluarga.

“Buku ini bukan hanya untuk anak-anak, tetapi untuk ibu bapa, keluarga dan masyarakat. Ia mengingatkan bahawa kedamaian hanya boleh dicapai apabila dunia bersatu menentang ketidakadilan dan mempertahankan yang benar,” jelas beliau.

Nurul Izzah turut menekankan kepentingan membina ketahanan mental, fizikal dan spiritual dalam kalangan generasi muda agar mereka mampu menilai kebenaran berasaskan fakta dan bukti, serta berani mempertahankan nilai kemanusiaan.

Beliau berharap agar buku ini dapat menjadi medium pendidikan yang menyemai kesedaran sejarah, empati dan kekuatan jiwa dalam kalangan pembaca muda, sekali gus melahirkan generasi yang peka terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Sementara itu Norashikin Abdul Latiff penulis buku The Olive Tree That Remembered menyifatkan naskhah itu sebagai medium untuk menyampaikan nilai empati, belas ihsan dan kefahaman tentang erti keamanan kepada generasi muda melalui pendekatan penceritaan yang lembut tetapi bermakna.

Menurut beliau, kisah sepohon zaitun tua yang menjadi saksi kepada era kedamaian dan peperangan sepanjang zaman dipilih sebagai simbol kepada ingatan kolektif manusia terhadap penderitaan dan harapan, agar pembaca cilik dapat memahami bahawa keamanan hanya dapat dicapai apabila manusia bersatu menentang ketidakadilan dan mempertahankan kebenaran.

“Buku ini bukan sekadar cerita. Ia adalah satu ingatan, satu doa, dan satu harapan yang disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami oleh anak-anak, namun membawa mesej yang mendalam kepada semua peringkat usia,” katanya.

Dalam Majlis itu juga Puan Hajjah Nurul Izzah Anwar turut menyaksikan pemeteraian Surat Ikatan Penyerahan Hak (Deeds of Assignment) dengan lima organisasi penerima manfaat, sekali gus mengesahkan mekanisme pengagihan hasil jualan buku secara telus dan tersusun.

Norashikin turut menjelaskan bahawa pelantikan MuslimPro sebagai platform digital rasmi adalah bagi menyokong perancangan adaptasi animasi buku tersebut, manakala ToyyibPay dilantik sebagai gerbang pembayaran digital rasmi bagi memastikan setiap pembelian dapat terus disalurkan kepada penerima manfaat secara tepat dan boleh dijejaki.

“Inisiatif ini adalah usaha kecil kami untuk menunjukkan bahawa karya kreatif juga boleh menjadi instrumen kebajikan yang berintegriti, dengan sistem yang jelas, telus dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau berharap The Olive Tree That Remembered bukan sahaja dibaca sebagai sebuah buku cerita, tetapi dilihat sebagai satu gerakan kecil yang mengajak masyarakat menghargai keamanan dan menyumbang kepada usaha kemanusiaan melalui cara yang lebih tersusun dan diyakini.