Simpati pada Kak Lah, YB Rantau Panjang

OLEH ZAMIR GHAZALI

Saya sebagaimana warganet yang lainnya melihat dan mendengar teguran YB Zailah kepada YB Menteri Nga Kor Ming dari DAP. 

Di sudut hati, saya tidak merasakan Kak Lah jahil agama. 

Beliau dapat saya rasakan ikhlas kekhuatirannya kepada seorang bukan Islam yang kerap kali mengucapkan kalimat suci agama ad-din ini.

Beliau sebenarnya tahu, tidak salah pun untuk bukan Islam mengucapkan ‘Alhamdullilah’, In Shaa Allah’ atau pun ‘MasyaAllah’. 

Beliau juga tahu bahawa bukan Islam boleh membaca Quran. Seorang yang berilmu sepertinya saya yakin amat arif perkara ini. 

Saya yakin bahawa kelunakan ini adalah jalur dakwah yang baik dalam agama. 

Mentelah dari Kelantan, beliau pasti biasa dengan tabiat orang Cina mahupun Siam di sana yang fasih di mulut dengan kalimat-kalimat suci Islam. 

Saya tiada keraguan pada ilmu agama mana-mana pemimpin Pas termasuk Kak Lah.

Namun apa yang membungkam ilmu dalam dadanya? Dalam teguran beliau, dorongannya adalah prasangka. 

Ya, ada satu doktrin dan kepercayaan dalam mindanya dan banyak pimpinan Pas ialah musuh politik bukan Islam khusus dari DAP punya niat jahat dan citra halus untuk jahanamkan Islam dan bangsa Melayu di tanah air ini. 

Perasaan ini menjalar tajam dalam denyut nadi fikiran dan urat darah mereka. Melahirkan jiwa berprasangka.

Quran itu lengkap. Pastinya perkara ini ada diperingatkan Allah. Di Surah Al-Hujurat ayat 12, Allah mengingatkan pada muslimin; 

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu bersangka-sangka. Kerana sebahagian dari bersangka-sangka itu adalah dosa”. 

Peringatan Allah ini dituju kepada orang yang beriman yakni Muslim. Bukan kepada semua umat manusia walaupun barang pasti, jika bukan Islam pun mengambil pengajaran ini, amat baik kesannya.

Apa yang mendorong pemimpin solehah seperti Kak Lah dan pemimpin Pas lainnya hidup dalam prasangka seperti ini? Asbabnya ialah perasaan benci. 

Benci yang membuak dan dalam hingga lahir perasaan prasangka yang keras sekaligus membenam ilmu dan akal waras. 

Jika tiada perasaan benci ini, maka waras akan mengambil tempat. Waras akan lahirkan sifat lunak. Sebab itu dalam hal Encik Bala membaca ayat Quran dan mimpi jumpa Nabi diucap terbuka di pentas, tiada masalah buat mereka. Mengapa boleh? Kerana tiada benci dan kesumat.

Simpati saya di sini kerana merasakan saudara sesama Islam dan Melayu solehah seakan diuji Tuhan dengan jiwa resah, perasaan sakit marah dan luka kebencian tak cukup jumlah. 

Menyalakan rasa prasangka buruk dalam setiap denyut nafas selepas bangun tidur dan hidup sehari-hari dengan jiwa pembenci bukan latar yang indah dan damai meskipun basah bibir dengan zikrullah.

Tidak ketahuan; sama ada ini ujian Tuhan di dunia atau hukuman Tuhan yang diawalkan.

Semoga Allah merahmati perjuangan, Kak Lah.

BACA JUGA Pertikai wibawa UIAM: AMANAH gesa Pas mohon maaf, tarik balik kenyataan