Zahid jawab isu tanah ladang Felda di Terengganu

Isu membabitkan seluas 14,791 hektar tanah diusahakan Felda yang menjadi pertikaian antara kerajaan Terengganu dan agensi itu hampir dimuktamadkan dengan penyelesaian dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan itu kini berada di peringkat akhir selepas beberapa siri perbincangan diadakan membabitkan semua pihak berkepentingan.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri serta Bahagian Kawal Selia Felda (BKSF) dan insya-Allah ia akan diselesaikan dalam waktu terdekat,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Terdahulu, dilaporkan kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) membabitkan larangan pencerobohan ke atas tanah yang diusahakan Felda di 10 ladang, meliputi kawasan kira-kira 15,000 hektar.

Kerajaan negeri dikuasai Pas itu mendakwa tanah terbabit diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan sejak lebih empat dekad lalu.

Pengurusan ladang Felda di beberapa daerah termasuk Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu dikatakan menerima notis berkenaan.

BACA JUGA Zamri Vinoth, Tamim Dahari direman dua hari