Ketika Modi ke Malaysia, pelancong India berhibur di Bukit Bintang

Ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi bertemu masyarakat India di negara ini bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebahagian pelancong India ke negara ini berhibur di Bukit Bintang, pusat tarikan pelancong utama negara ini.

Bukan di kelab-kelab malam atau lantai disko tetapi di tepi-tepi jalan sepanjang Jalan Alor dan Jalan Bukit Bintang yang bergemerlapan sepanjang malam.

(Pelancong dan rakyat tempatan dari pelbagai kaum berhibur sambil menari bersama buskers di Jalan Bukit Bintang)

Gemerlapan ini mungkin sebahagian dari usaha Kementerian Pelancongan Malaysia meraikan kedatangan pelancong ke Tahun Melawat Malaysia 2026, di mana pada tahun 2025 Malaysia telah melepasi Thailand dari segi jumlah pelancong yang masuk.

Ketibaan pelancong asing ke Malaysia meningkat 14.5 peratus berbanding 2024, demikian menurut Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac).

Seramai 28.24 juta pelancong melawat Malaysia dari Januari 2025 hingga Ogos 2025, berbanding 24.66 juta dalam tempoh sama pada 2024.

Kementerian itu berkata jumlah bagi 2025 juga menandakan peningkatan 16.4 peratus berbanding 2019, yang mencatatkan 24.25 juta pelancong asing.

Menurut laporan media, kawasan ikonik Bukit Bintang bakal berubah wajah tahun depan (2026) apabila kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi menjayakan projek pencahayaan dan perarakan khas bersempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 pada 3 Januari 2025.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masing-masing memperuntukkan RM2 juta bagi melaksanakan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U Bukit Bintang’.

India kini muncul sebagai sumber pelancong yang paling pesat berkembang ke Malaysia, dengan ketibaan melebihi satu juta orang buat pertama kali pada 2024 dan meninggkat lagi pada tahun 2025, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy.

Tourism Malaysia pula sememangnya mempergiatkan usaha untuk menarik pelancong India ke Malaysia sempena pelancaran kempen “Tahun Melawat Malaysia 2026” (VM2026).

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia (India Selatan dan Sri Lanka), Shahrim Tan berkata, pihaknya telah memulakan usaha dengan mengadakan jerayawara pada tahun lepas bagi menjayakan kempen tersebut.

“Kami baru sahaja selesai mengadakan program jerayawara dari 3 hingga 10 Feb lepas, program ini adalah perniagaan-ke-perniagaan (B2B) di mana kami membawa pemain industri dari Malaysia,” kata beliau tahun lepas.

Sekurang-kurangnya ada tiga pertunjukan terbuka yang diadakan di sepanjang Jalan Bukit Bintang malam tadi, yang kesemuanya dibuat oleh buskers tempatan.

Mereka menyanyikan lagu Melayu, English, Hindi, China dan juga Indonesia. Ketika penyanyi buskers ini menyanyi, orang ramai dari pelbagai bangsa menari bersama secara terbuka, seolah-olah pesta sedang berlangsung.

Yang menariknya, ketika PM Modi bercakap di The Mines, ramai sekali pelancong India yang memenuhi Jalan Bukit Bintang sambil berjalan-jalan, makan-makan dan juga berbelanja.

Apabila melalui kawasan buskers, mereka boleh meminta lagu dan apabila lagu mereka dinyanyikan, mereka bersama pasangan menari secara terbuka.

(Jalan di sekitar Bukit Bintang penuh sesak dengan orang ramai khasnya pelancong asing. Yang pasti mereka mendapat banyak pilihan hiburan secara percuma)

Inilah realiti baharu Malaysia yang kalau kita tidak turun ke Kuala Lumpur di malam minggu, kita tidak akan tahu apa yang berlaku.

Pusat-pusat tarikan pelancong penuh dengan pelbagai ragam manusia. Ketika awal malam, ramai manusia dari pelbagai bangsa, warna kulit dan agama ini dilihat berselerak di dalam, depan dan berhampiran pusat membeli belah Pavilion.

Yang agak negatifnya juga, begitu banyak pusat-pusat urut yang menawarkan perkhidmatan mereka di sekitar Bukit Bintang seolah-olah mahu memBangkok atau mengHadyaikan Bukit Bintang. Mereka menggunakan wanita asing khasnya dari Thailand untuk mengajak pelanggan masuk.

Bila malam semakin larut, mereka mula bergerak ke jalan Alor untuk makan street food dan durian. Di sinilah tempat buskers mencari makan. Bukan lagi membuat pertunjukan secara solo tetapi dengan diiringi band yang lengkap, gitar, drum dan sebagainya.

Selain menari, ada juga yang ikut sama-sama menyanyi terutama apabila lagu dari negara mereka dinyanyikan dan udah tentu mendapat sambutan yang sangat hangat dari penonton.

Semasa di Bandung, saya mengikuti persembahan begini tetapi kita terpaksa nongkrong di cafe sambil makan dan minum makanan mereka.

Tetapi di Bukit Bintang, kita boleh menonton dan berhibur secara percuma. Bukan sahaja menonton tetapi boleh juga meminta lagu termasuk meraikan sambutan hari jadi di tepi jalan di Bukit Bintang ini.

BACA JUGA Malaysia jadi destinasi popular rakyat Singapura untuk berbelanja