Bersatu bacul, tunggu tiga tahun pecat Hamzah Zainuddin
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang merupakan ahli tergantung telah menuduh Bersatu sebagai parti yang bacul kerana menunggu selama tiga tahun sebelum memecat timbalan presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Tak perlu berdrama lagi dalam media dengan hantar barua dan budak suruhan. Jadi anak jantan sebenar. 3 tahun lamanya bacul kamu menunggu nak pecat Datuk Seri Hamzah Zainuddin!” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Semalam media melaporkan Hamzah, yang juga Ketua Pembangkang, telah dipanggil menghadap lembaga disiplin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan perhimpunan agung tahunan, dan serangan terhadap Muhyiddin.
Hamzah pernah dipanggil oleh lembaga disiplin sebelum ini tetapi tidak hadir.
“Nak pecat, pecat betul-betul. Jangan baling batu sembunyi tangan macam pondan!
“Kalau ini harga yang kami perlu bayar dalam melakukan amar ma’ruf nahi mungkar demi menyelamatkan rukun perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA) dalam BERSATU dan PN – Ahlan wa Sahlan, SILAKAN!!!
“Sudahnya dalam BERSATU yang Presiden nak dengar sangat hanyalah puak kaki ampu, kaki bodek, kaki jilat, kaki mabuk, dan bermacam-macam kaki yang Allah dan Rasul terang-terang laknat.”
Wan Ahmad Fayshal turut mendakwa bahawa Bersatu bersekongkol dengan kerajaan Madani namun tidak menjelaskan perkara tersebut.
“Mana pergi Maruah? Mana ada maruah kalau dah kena pegang dengan puak Madani!
“I SAY: BRING IT ON!”
BACA JUGA: ADUN Pas cetus kemarahan ramai selepas dakwa tiada pengabaian kes warga emas dikurung