MB Kedah jalan-jalan di Bukit Bintang, netizen anggap banyak masa terluang
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat bersiar-siar di Bukit Bintang malam tadi sekaligus dihujani kritikan dan sindiran orang ramai.
Dalam masa sama, bagi penyokong pembangkang, perkara dilakukan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat itu dipuji termasuk menganggap Sanusi bersifat rendah diri.
“Siapa sangka seorang MB boleh ambil angin jalan-jalan di tengah-tengah kotaraya di mana tempat kebanyakan orang ramai keluar beristirehat di malam minggu.
“Memang humble,” puji pengguna Facebook, PHan Fizs.
Namun, pengendali kumpulan Facebook, Gang Utara Fan Club sebaliknya berpendapat Sanusi mempunyai banyak masa terluang.
“Tak payah pikiaq pasai kesusahan rakyat…
“Kerja dia jalan-jalan tarik sokongan untuk diri sendiri… kongsi dekat media sosial,” tempelaknya.
Sementara itu, Sanusi hari ini memberitahu dia baharu tiba dari lawatan kerja ke Mesir bersama delegasi kerajaan negeri Kedah.
“Kemarin ada pelancaran Tabung Amanah Sultan Kedah di Kuala Lumpur.
“Ada beberapa urusan rasmi lagi di sini termasuk mengiringi Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Sultan Badlishah ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang dalam minggu ini.
“Malam tadi, keluar cari makan sat. Sambil tengok persembahan busking anak muda yang cukup berbakat…
“Hangpe follow ke Genji Buskers ni?” kata Sanusi sambil berkongsikan gambar dengan anggota penghibur jalanan berkenaan di lokasi kawasan pusat hiburan dan komersial itu.
BACA JUGA Pengerusi kuil didakwa ceroboh, pemilik rupanya sudah beli tanah pada 2001