Pengerusi kuil didakwa ceroboh, pemilik rupanya sudah beli tanah pada 2001

Pengerusi sebuah kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor hari ini, atas kesalahan menceroboh tanah milik orang lain di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun tahun lalu.

M Paramaguru, 49, yang juga pengawal keselamatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, Paramaguru didapati melakukan kesalahan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenarannya.

Kesalahan itu dilakukan jam 4.45 petang di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Lapor BH, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Namun peguam tertuduh, Darshela Hari Raja memohon jaminan lebih rendah memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Tertuduh juga mempunyai dua anak masih kecil masing-masing berusia enam tahun dan 11 bulan, manakala isterinya berumur 41 tahun adalah suri rumah yang bergantung dengan pendapatan suami.

“Justeru, kami mohon jumlah wang jaminan lebih rendah dikenakan terhadap tertuduh memandangkan dia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis serta tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala 12 Mac nanti sebagai tarikh serahan dokumen.

Semalam, tertuduh ditahan di rumahnya di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil jam 3.30 petang.

Terdahulu, pemilik tanah persendirian di Taman Topaz dilapor memberi tempoh seminggu kepada pihak pengurusan sebuah kuil untuk mengosongkan tanah yang diduduki secara haram.

Menurut aktivis Tamim Dahri, pemilik tanah terbabit, Datuk Suhaili Ahmad mengeluarkan notis supaya semua patung dan harta milik pihak kuil dipindahkan dalam tempoh ditetapkan sebelum tindakan lanjut diambil.

Tamim berkata, notis sudah diberikan kepada pihak pengurusan kuil yang membina beberapa struktur bangunan tanpa kebenaran di kawasan itu sebelum kerja-kerja pengambilan semula tanah dijadualkan pada 9 Januari 2026.

Penceroboh sebelum ini sudah pun diberi notis seminggu untuk mengalihkan semua patung di tanah pemilik di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil. Foto Tamim Dahri

Beliau turut memberitahu pemilik berkenaan telah membeli tanah tersebut pada 2001.

“Terdapat surau dan shrine di situ dan mereka diberi tanah ganti di tempat lain.

“Pemilik sewakan tanah untuk pasang papan tanda iklan di situ.

“Oleh sebab penyewaan papan tanda iklan ditamatkan, pemilik lawat semula tanah dan terkejut dengan kewujudan semula kuil itu dengan saiz yang besar,” katanya.

Sehubungan itu, kata Tamim, pemilik telah membuat laporan polis pada Jun tahun lalu tetapi didakwa tiada tindakan diambil.

“Pemilik juga buat laporan kepada Pejabat Tanah, juga tiada Tindakan,” ujarnya sehingga pemilik terbabit meminta bantuan komuniti menerusi kumpulan Facebook, Binaan Haram Di Mana Hari Ini?

BACA JUGA Percikan isu 3R patut dicegah awal, hak berhimpun bukan mutlak