Pengerusi Majlis Syura tak semestinya wakili pandangan Majlis Syura? Pas nafi keretakan hubungan dengan Hashim

Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin ialah pengerusi Majlis Syura tetapi tidak semestinya mewakili pandangan Majlis Syura Pas, kata timbalan presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau turut menolak dakwaan ada keretakan hubungan dengan Hashim.

“Kalau kita lihat dari segi ahli Majlis Syura, presiden (Hadi Awang) ialah ahli Majlis Syura. Saya pun ahli Majlis Syura. Majlis Syura bukan mursyidul am. Mursyidul am ialah pengerusi kepada Majlis Syura. Tetapi keputusan mestilah keputusan Majlis Syura.

“Pandangan mursyidul am adalah pandangan beliau. Tetapi bukan semestinya pendapat beliau itu sama dengan Majlis Syura. Tidak. Namun, kami menghormati Majlis Syura itu, dan mursyidul am sebagai pimpinan spiritual kita dalam parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau turut menolak dakwaan keretakan hubungan di antara Hashim dan presiden Pas Tan Sri Hadi Awang.

“Sebab kita selalu bermesyuarat, selalu berjumpa. Presiden dengan mursyidul am ini tidak ada masalah pun.

“Selalu berjumpa, duduk berbincang. Jika ada pandangan berbeza sekali pun, kita ada platform untuk mengatasinya. Ia masalah teknikal, bukan masalah asas,” katanya.

Tuan Ibrahim menyatakan bahawa Majlis Syura berfungsi sebagai penasihat kepada parti.

“Sebarang polisi parti yang ingin dilaksanakan akan dirujuk kepada Majlis Syura dan boleh dipersetujui atau ditolak sekiranya bercanggah dengan hukum syarak,” katanya.

Isu hubungan Hashim dengan pimpinan menjadi tanda tanya apabila beliau menyoal kepimpinan Pas yang menamatkan keanggotaan tiga Adun Perlis bulan lalu.

Hashim juga mengkritik kepimpinan pusat PAS dengan berkata isu dalaman melibatkan Shukri telah dibawa kepada perhatian jawatankuasa pusat PAS sejak tiga tahun lalu, namun tiada tindakan diambil untuk menangani perkara tersebut.

Hashim ialah mantan pesuruhjaya Pas Perlis.

BACA JUGA: Mahiaddin tunggang Lembaga Disiplin buru Hamzah