Ramasamy tuduh PM ghairah cari sokongan ‘masyarakat majoriti’, ramai tinggalkan emoji ketawa
Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ghairah mencari sokongan masyarakat majoriti susulan pengumuman Perdana Menteri mengizinkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina tidak mengikut peraturan.
Bekas pemimpin DAP yang keluar dari DAP pada 2023 itu berkata, Anwar seolah-olah beranggapan bahawa rumah ibadat yang ‘haram’ itulah sebagai punca masalah.
Ramasamy berkata, tidak timbul keperluan untuk melabel kuil-kuil tersebut secara menghina sebagai ‘haram’ untuk dirobohkan jika kerajaan negeri dan PBT telah menyelesaikan isu pemilikan tanah dan pendaftaran kuil.
“Banyak daripada kuil yang kononnya ‘haram’ ini wujud sebelum kemerdekaan dan sebelum penubuhan PBT serta kerajaan negeri di negara ini.
“Tiba-tiba pihak berkuasa diarahkan untuk memeriksa kewujudan kuil ‘haram’ dan, jika boleh, merobohkannya,” kata Ramasamy menerusi Facebook hari ini.
Namun, selepas kira-kira lapan jam dimuat naik, hantaran pemimpin parti kecil pembangkang itu dilihat hanya mengundang reaksi lucu warganet dengan lebih 80 peratus meninggalkan emoji ketawa.
Tindakan tipikal
Ramasamy turut mendakwa Perdana Menteri menetapkan haluan sehingga mendorong seruan kumpulan ekstrem tertentu untuk merobohkan kuil-kuil ‘haram’ di negara ini.
“Protes yang gagal oleh lebih 140 NGO Islam Melayu terhadap kuil ‘haram’ kebetulan berlaku serentak dengan lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke Malaysia pada 7 Februari 2026.
“Di bawah arahan Anwar, pihak polis menyerbu dan menahan beberapa penunjuk perasaan Melayu-Muslim.
“Pada masa yang sama, pihak berkuasa turut menahan tiga aktivis Hindu dan seorang ketua persatuan pengerusi kuil tanpa sebab yang munasabah,” katanya.
Sehubungan itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut menganggap penahanan tiga aktivis Hindu terbabit sebagai tindakan tipikal Anwar untuk mengimbangi penahanan pemimpin Melayu-Muslim yang terlibat dalam protes di ibu negara kelmarin.
“Aktivis-aktivis ini langsung tidak bertanggungjawab terhadap peningkatan ketegangan agama dan kaum di negara ini.
“Kini, selepas Modi meninggalkan negara, Anwar dalam gaya bunglon yang biasa telah berpaling menentang kuil-kuil Hindu yang ‘haram’ dengan mengancam untuk merobohkannya,” kata Ramasamy yang turut menyifatkan kepimpinan Anwar sebagai harapkan pegar, pegar makan padi.
“Tiada perdana menteri sebelum Anwar yang terlibat dalam politik perkauman dan agama yang begitu memecah-belahkan!” tegas bekas Ahli Parlimen Batu Kawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu lagi.
BACA JUGA MB Kedah jalan-jalan di Bukit Bintang, netizen anggap banyak masa terluang