Bolehkah Datuk Bandar dipilih secara pilihan raya? Ini yang perlu kita tahu
Oleh ZULHAZMI SHARIFF
Bolehkah nak buat pemilihan Datuk Bandar melalui pilihan raya? Jawapannya boleh.
Namun, bukannya semudah Thanos petik jari. Perlu kepada suatu kajian yang menyeluruh dan teliti dari segi perlaksanaannya.
Katanya, sekarang menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) minta Universiti Islam Antarabangsa (UIA) buat kajian, kita tunggu hasilnya nanti.
Bagi saya, sebelum nak buat pemilihan bagi Datuk Bandar, beberapa peruntukan dalam Akta Ibukota Persekutuan 1960 khususnya Seksyen 4 (2) hendaklah dipinda dengan menggantikan pelantikan Datuk Bandar hendaklah dibuat melalui suatu pilihan raya.
Begitu juga, Seksyen 13 yang memberikan kuasa kepada Menteri ke atas Datuk Bandar juga hendaklah dimansuhkan. Tidak logik seorang Datuk Bandar yang dipilih oleh rakyat tiba-tiba terikat untuk mengikuti arahan Menteri?
Kemudian proses pilihan raya :
a) Siapa yang akan mengendalikan pilihan raya? Adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR);
b) Siapakah yang berhak atau layak menjadi pengundi/pemilih dalam pilihanraya; dan
c) Siapa yang layak bertanding untuk dipilih menjadi Datuk Bandar.
Ini bukan proses yang mudah dan main-main.
Kemudian, apabila pilihan raya dijalankan dan seorang Datuk Bandar dipilih, adakah Datuk Bandar masih tertakluk di bawah arahan seorang Menteri atau Perdana Menteri?
Apa pula status Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?
Adakah tetap sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berfungsi sebagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri atau sebuah pihak berkuasa tempatan yang tertakluk dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau sebuah pihak berkuasa yang bebas dan mempunyai autonomi sendiri?
Integriti tinggi
Bagaimana pula dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua bagi Wilayah Persekutuan?
Pandangan saya:
Pemilihan Datuk Bandar dengan cara sedia ada tiada masalah tetapi:
- Mesti dipilih dari kalangan seorang yang mempunyai integriti yang tinggi, yang bertanggungjawab dan yang hendak berkhidmat untuk masyarakat bukannya pihak tertentu.
- Mesti ada Penyata atau Laporan Tahunan yang disediakan dan didedahkan kepada umum dan sekiranya perlu dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen (sekarang sebenarnya ada tetapi tak diambil tahu dan tak dibahaskan pun).
- Ubahsuai atau buat penstrukturan semula organisasi dalaman DBKL dari segi perjawatan, kepakaran, pengalaman, integriti untuk perkukuhkan perkhidmatan.
- Buka pintu DBKL kepada agensi integriti seperti SPRM dan Audit setiap masa bagi mengelakkan berlakunya salahguna kuasa dan penyelewengan.
Bagi saya, pemilihan dan pelantikan Datuk Bandar melalui pilihan raya atau seperti sedia ada sekarang kedua-duanya ada baik buruk dan tidak menjamin tidak akan berlaku salahguna kuasa atau tidak.
Sebabnya Datuk Bandar itu orang macam kita juga bukannya mesin atau robot.
Datuk Bandar itu orang, ada keluarga, ada kawan, ada kenalan, ada musuh dan yang selalu orang lupa ialah di bawah Datuk Bandar ada Ketua-ketua Pengarah Jabatan dan pegawai-pegawai serta kakitangan yang menjalankan tugas.
Sama saja Datuk Bandar dengan PM yang ada Menteri, KSN, KSU dan kakitangan awam lain.
*ZULHAZMI SHARIFF merupakan bekas pegawai Menteri Wilayah Persekutuan.
BACA JUGA Orang kaya Malaysia terus bertambah, 7,490 individu miliki kekayaan lebih RM40 juta