Isu ladang FGV Terengganu hampir selesai, tuduhan ‘haram’ dan rompak terbukti tidak berasas

Rundingan berhubung status ladang Felda Global Ventures (FGV) di Terengganu yang sebelum ini didakwa sebagai ‘haram’ kini dilaporkan hampir ke penghujung, sekali gus menyingkap kebenaran sebenar di sebalik pelbagai tuduhan tidak berasas sebelum ini.

Kumpulan Facebook Greater Terengganu Development memaklumkan bahawa keuntungan ladang FGV berkenaan diperakui digunakan oleh Felda bagi membantu peneroka termasuk rakyat Terengganu sendiri.

“Tuduhan Felda merompak kekayaan Terengganu untuk diri mereka sendiri terbukti fitnah,” tegasnya.

Menurut catatan itu, turut diperakui bahawa bayaran oleh Felda kepada kerajaan negeri Terengganu telah pun dibuat sebelum ini.

Isu yang timbul, jelasnya, hanyalah berkaitan permintaan kerajaan negeri untuk mendapatkan nilaian yang lebih baik, yang kemudiannya dipersetujui oleh pihak Felda menerusi rundingan yang disifatkan berlangsung secara harmoni.

“Terbukti lagi tuduhan Felda ceroboh tanah dan tak pernah bayar satu sen adalah fitnah,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan terbabit berada di peringkat akhir selepas beberapa siri perbincangan diadakan membabitkan semua pihak berkepentingan.

“Hampir selesai. Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri serta Bahagian Kawal Selia Felda (BKSF) dan insya-Allah ia akan diselesaikan dalam waktu terdekat,” kata Ahmad Zahid.

Permainan politik

Dalam masa sama, Greater Terengganu Development merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid atas peranan beliau sebagai menteri yang memayungi Felda dalam membawa khabar baik tersebut ke Terengganu.

Penghargaan turut diberikan kepada barisan pegawai tadbir kerajaan negeri Terengganu (TCS) serta Bahagian Kawalan Felda (BKF) yang disifatkan bijaksana dalam mengendalikan rundingan sehingga hampir ke peringkat akhir.

“Ini membuktikan tanpa permainan politik serta fitnah dari barua-barua politik upahan, isu ini boleh selesai dengan mudah.

“Semoga ia akan dapat meningkatkan lagi pendapatan kerajaan negeri tahun ini,” menurut hantaran kumpulan itu lagi.

Sebelum ini, kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) membabitkan larangan pencerobohan ke atas tanah yang diusahakan Felda di 10 ladang, meliputi kawasan kira-kira 15,000 hektar.

Tindakan tersebut diambil susulan dakwaan bahawa tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan sejak lebih 40 tahun lalu.

Notis itu diserahkan kepada pengurusan ladang Felda di beberapa daerah termasuk Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

BACA JUGA SARA: ‘Lepaslah belanja beli barangan untuk Ramadan nanti’