Ronald Kiandee desak Mahiaddin letak jawatan Presiden Bersatu

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ronald Kiandee, hari ini menggesa Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk berundur daripada jawatan presiden susulan krisis dalaman parti yang semakin meruncing.

Ronald menyifatkan tindakan Lembaga Disiplin Bersatu yang memanggil Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berhubung tuduhan lama dan baharu sebagai langkah “regresif” serta bercanggah dengan usaha memperkukuhkan parti menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, tindakan tersebut turut melibatkan ketua-ketua bahagian serta wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang menyokong Hamzah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan prosedur disiplin parti.

“Tindakan ini memperlihatkan penyalahgunaan prosedur disiplin secara terdesak bagi membungkam suara pimpinan utama parti daripada terus menyampaikan pandangan, teguran dan maklum balas demi kelangsungan serta masa depan Bersatu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ronald, situasi berkenaan menyebabkan parti dilihat oleh rakyat sebagai semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan asal.

Dalam masa sama, beliau mendakwa perjuangan Bersatu kini seolah-olah tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa presiden dan melindungi kelompok penyokong tertentu tanpa mengambil kira hubungan dengan rakan komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Beluran itu turut menegaskan Mahiaddin gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan sehingga ia berlarutan dan sukar dipulihkan.

Tegasnya, Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu menggunakan baki kekuatan yang ada untuk mempertahankan kedudukan serta menghalang laluan Hamzah daripada memimpin Bersatu pada masa depan.

“Untuk memulihkan serta membina semula kekuatan sebenar Bersatu, termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional, sudah sampai masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan Presiden Bersatu,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyatakan keyakinan bahawa saranan itu boleh diterima oleh seorang pemimpin berjiwa besar, sambil merujuk pendirian Mahiaddin pada 2008 di Singapura terhadap Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perpecahan dua kem

Kenyataan Ronald itu dilihat menambah tekanan terhadap kepimpinan tertinggi Bersatu ketika parti berdepan ketegangan dalaman yang berlarutan.

Bersatu kini menyaksikan perpecahan dua kem antara Mahiaddin dan timbalannya, timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beberapa pemimpin yang dikatakan kem Hamzah tampil mendesak Mahiaddin mengundur diri dengan menyifatkan mantan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sudah hilang kredibiliti untuk memimpin Bersatu.

Sebelum ini, Hamzah dipanggil untuk hadir ke Lembaga Disiplin parti tersebut bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan semasa Perhimpunan Agung Tahunan serta serangan terhadap Mahiaddin Yassin.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang dijadualkan memberi keterangan pada jam 12 tengah hari, 12 Februari ini di ibu pejabat Bersatu.

BACA JUGA Bolehkah Datuk Bandar dipilih secara pilihan raya? Ini yang perlu kita tahu