Sultan Sharafuddin tidak berkenan penternakan babi di Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak berkenan sebarang bentuk penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil dijalankan di mana-mana daerah dalam negeri Selangor.

Pendirian itu dizahirkan baginda menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Sulit baginda, hari ini, berhubung isu projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Kenyataan Sultan Selangor itu dikeluarkan susulan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Januari lalu yang mengesyorkan kepada kerajaan Negeri Selangor agar membatalkan projek penternakan babi di kawasan tersebut.

Isu tersebut juga dibincangkan semasa Perdana Menteri menghadap Sultan Selangor pada 8 Februari lalu.

Pada 9 Februari lalu, Anwar menyatakan ketidaksetujuan beliau terhadap projek ternakan babi di kawasan yang dibantah penduduk tempatan atau berpotensi menimbulkan kontroversi.

Sehubungan itu, Sultan Selangor menyambut baik pendirian Perdana Menteri dan menegaskan bahawa baginda tidak berkenan penternakan babi kerana ia berisiko mencemarkan udara, mengeluarkan bau busuk, selain boleh mengotorkan sungai akibat pelepasan najis serta sisa kumbahan.

Baginda memberi contoh cadangan projek di Bukit Tagar, yang terletak berhampiran kawasan penempatan majoriti Melayu termasuk kawasan Felda.

Menurut kenyataan itu, projek tersebut hampir pasti menerima bantahan penduduk tempatan, di samping berpotensi mencemarkan kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Isu penternakan babi di Selangor menjadi polemik apabila cadangan projek baharu berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor dilihat tidak sensitif terhadap kebimbangan risiko pencemaran sumber air selain sensitiviti masyarakat beragama Islam.

Susulan pendirian yang dinyatakan oleh Anwar serta titah Sultan Sharafuddin sebelum ini, kerajaan Selangor memutuskan projek ternakan babi di Bukit Tagar dibatal dan ditangguhkan sementara lokasi alternatif atau kaedah yang lebih sesuai ditemui.

BACA JUGA Bolehkah Datuk Bandar dipilih secara pilihan raya? Ini yang perlu kita tahu