‘Yang patut letak jawatan ialah Ronald Kiandee bukan Mahiaddin’
Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia Sri Sanjeevan Ramakrishnan mendakwa bahawa naib presiden Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sepatutnya meletakkan jawatan, bukannya presiden parti Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Hakikat yang tidak boleh disangkal ialah kegagalan terbesar Dr. Ronald Kiandee terletak di Sabah. Di bawah peranan dan pengaruh beliau, Bersatu gagal membina kekuatan sebenar, gagal menyusun jentera yang berfungsi, gagal menyatukan pimpinan serta akar umbi, dan akhirnya gagal meyakinkan rakyat Sabah untuk memberikan sokongan.
“Politik Sabah dibiarkan berpecah, bercelaru dan tidak berhala tuju, hasil kepimpinan yang lemah serta percaturan yang tidak berpijak di bumi nyata.
“Lebih malang, kegagalan ini cuba ditutup dengan serangan terbuka terhadap kepimpinan pusat. Individu yang paling wajar mempertimbangkan peletakan jawatan bukanlah presiden parti, tetapi Dr. Ronald Kiandee sendiri.
“Apabila diberi amanah, beliau gagal menyampaikan kemenangan. Apabila diberi ruang, beliau gagal membina kepercayaan. Apabila diberi tanggungjawab, beliau gagal menunjukkan kepimpinan yang menyatukan.”
Pilihan raya negeri Sabah yang turut ditandingi Ronald Kiandee tidak menghasilkan walau satu kerusi pun untuk Bersatu.
Pada pagi ini Ronald Kiandee menjadi pemimpin paling kanan yang mendesak peletakan jawatan Mahiaddin.
Pemimpin Sabah yang juga Ahli Parlimen Beluran turut mengkritik Lembaga Disiplin yang mahu mengambil tindakan terhadap timbalan presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata bahawa Mahiaddin gagal menguruskan krisis dalaman Bersatu.
‘Mahiaddin bina parti daripada sifar’
Sanjeevan turut mempertahankan Mahiaddin dan Lembaga Disiplin partinya.
“Cubaan menuding jari kepada Mahiaddin adalah bersifat hipokrit dan tidak bertanggungjawab.
“Mahiaddin telah membina Bersatu daripada sifar, memimpin parti ini menjadi teras kerajaan Persekutuan, serta memimpin negara ketika krisis kesihatan dan ekonomi paling getir dalam sejarah moden.
“Sumbangan dan pengorbanan ini tidak boleh dipadam oleh kegagalan individu tertentu di medan Sabah.
“Tindakan disiplin parti bukanlah alat membungkam, tetapi mekanisme mempertahankan disiplin dan kelangsungan parti. Tanpa disiplin, Bersatu akan hancur akibat sabotaj dalaman dan politik dendam.”
Krisis kepimpinan di dalam Bersatu bermula sejak tahun lalu dengan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan.
BACA JUGA: Ronald Kiandee desak Mahiaddin letak jawatan Presiden Bersatu