Indeks persepsi rasuah terus melonjak, cermin usaha kerajaan perangi rasuah

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia yang melonjak ke kedudukan 54, mencerminkan usaha Kerajaan MADANI memerangi rasuah yang sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan ini antaranya didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas SPRM, PDRM, LHDN dan JKDM.

Ia termasuklah kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana dan pembanterasan sindiket rasuah serta ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam.

“Kerajaan MADANI juga tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan. 

“Tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, di samping pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang,” tegas beliau dalam hantaran di Facebook.

Anwar menambah, pencapaian ini adalah peringatan untuk pihak berkuasa menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan.

Terdahulu, Malaysia berjaya memulihkan kedudukannya dalam indeks rasuah apabila berada di tangga ke-54 berbanding ke-57 pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan CPI 2025 yang diumumkan Transparency International Malaysia (TI-M), Malaysia juga mencatatkan skor 52 mata, meningkat daripada 50 mata pada 2024 dan 2023.

Penilaian itu berdasarkan 13 kajian dan penilaian pakar, yang mengukur persepsi tahap rasuah sektor awam di 182 negara dan wilayah di seluruh dunia.

BACA JUGA Perbandingan 6 negeri, kutipan hasil vs gaji menteri besar