Pas sudah hilang sabar, krisis Bersatu boleh cetus langkah solo PRU16
Ketegangan dalaman Bersatu yang berlarutan boleh memaksa Pas mempertimbang haluan sendiri menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya ia terus menjejaskan pergerakan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas tidak boleh membiarkan konflik yang tidak berkesudahan dalam Bersatu mengganggu persiapan menghadapi PRU16 akan datang.
“Kalau ia merencatkan perjalanan PN, maka Pas tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa membuat keputusan drastik,” katanya, dipetik FMT.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan, Pas memandang serius kelewatan penyelesaian konflik dalaman Bersatu kerana ia boleh menjejaskan kesiapsiagaan gabungan.
“Kita bimbang takut-takut kalau Bersatu tidak dapat membuat penyelesaian terhadap konflik dalaman mereka, ia akan mengganggu pergerakan dan persiapan kita menuju pilihan raya,” ujarnya.
Krisis dalaman Bersatu melibatkan kem presiden parti itu, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak berkesudahan sejak beberapa bulan lalu sehingga mendapat perhatian Pas sebagai rakan gabungan dalam PN.
Pertikaian kepimpinan dalam Bersatu dilaporkan melibatkan perbezaan pandangan mengenai hala tuju parti, susunan kepimpinan serta strategi menghadapi pilihan raya, sekali gus menimbulkan kebimbangan Pas terhadap kestabilan PN menjelang PRU16.
Mengulas lanjut, Fadhli memberitahu, partinya tidak mencampuri urusan dalaman Bersatu, sebaliknya hanya mengharapkan penyelesaian segera demi kestabilan PN.
“Cuma kita boleh mendoakan dan mengharapkan supaya selesaikan dengan secepat mungkin,” kata wakil rakyat Pas itu.
Tambahnya, Pas tidak mampu untuk membawa bersama parti yang masih diselubungi konflik dalaman yang tidak berkesudahan.
BACA JUGA ‘Iman tidak terikat pada parti’, Mahfuz ajak penyokong Pas nilai semula ketakutan politik