Penduduk bekerja terus naik kepada 17.13 juta, kadar pengangguran kekal 2.9 peratus

Bilangan penduduk bekerja di Malaysia terus meningkat kepada 17.13 juta dengan kadar pengangguran kekal pada 2.9 peratus bagi Disember 2025.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, bilangan penduduk bekerja naik 0.2 peratus daripada 17.09 juta pada November 2025.

Dalam kenyataannya, beliau memaklumkan pasaran buruh Malaysia pada Disember 2025 terus menunjukkan pertumbuhan yang positif, disokong oleh penambahbaikan ekonomi yang berterusan.

“Seiring dengan situasi ini, bilangan penduduk bekerja mencatatkan peningkatan marginal, manakala pengangguran terus menurun.

“Oleh itu, tenaga buruh berada pada trend meningkat,naik sebanyak 0.2 peratus kepada 17.65 juta orang berbanding 17.61 juta orang pada November 2025,” menurut kenyataan itu.

Bagi tempoh sama bilangan penganggur turun 0.1 peratus kepada 517,700 orang daripada 518,400 orang.

Sementara itu, bagi prestasi pada suku keempat 2025, kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus daripada 3.0 pada suku ketiga. Manakala, tenaga buruh menunjukkan pertumbuhan yang stabil, meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 17.62 juta orang.

”Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus, dengan KPTB lelaki kekal pada 83.3 peratus, manakala KPTB perempuan mencatatkan paras tertinggi pernah direkodkan, iaitu 56.6 peratus,” tambah kenyataan itu.

Dalam masa sama, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan untuk beberapa bulan akan datang, pasaran buruh negara terus stabil dengan asas yang lebih kukuh, hasil gabungan inisiatif fiskal, pelancongan dan pembangunan tenaga kerja.

BACA JUGA Hadi mengamuk kepada ahli Pas Perlis, serang Majlis Syura