PM puji bantuan rakyat salur maklumat, halang warga asing beli RON95
Kerajaan dijangka membuat penjimatan sekitar RM2.5 bilion pada tahun ini berikutan penyasaran subsidi petrol RON95.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan ini hasil daripada ketirisan subsidi yang berjaya dikekang.
Beliau memuji peranan dimainkan orang awam yang berusaha menyalurkan maklumat jika petrol bersubsidi disalahguna dan dibeli oleh warga asing
“Sindiket penyeludupan ke negara jiran juga dapat dibendung. Saya menghargai keprihatinan rakyat yang menegur dan menyalurkan maklumat tatkala ada cubaan membeli RON95 oleh warga asing.
“Sikap ini wajar dipuji kerana tidak sekadar mempertahan hak sebagai rakyat Malaysia, malah cerminan semangat kenegaraan dan jati diri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, hasil penjimatan dari pelaksanaan subsidi bersasar itu, ia disalurkan sema kepada rakyat melalui pelbagai jenis bantuan.
“Hasil penjimatan fiskal telah diagih semula kepada rakyat. Penjimatan ini dapat membiayai penambahan bantuan rakyat, khususnya Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” ujarnya.