17 ketua bahagian Bersatu Johor kemuka memorandum desak Hamzah dipecat

17 ketua bahagian Bersatu di Johor hari ini menghantar memorandum rasmi mendesak supaya Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat serta merta daripada jawatan Timbalan Presiden dan digugurkan keanggotaan dalam parti.

Memorandum yang ditandatangani ketua bahagian, pimpinan negeri serta wakil sayap Bersatu Johor, itu diserahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, serta barisan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Dalam memorandum itu, mereka mendakwa desakan dibuat bukan kerana sentimen politik atau perbezaan pandangan, sebaliknya berasaskan salah laku kepimpinan yang berat, pelanggaran perlembagaan parti secara sistematik serta kegagalan moral yang menyebabkan Hamzah tidak layak terus memegang sebarang jawatan.

“Kami dengan ini mengisytiharkan bahawa kepercayaan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin telah runtuh sepenuhnya, khususnya berkaitan kegagalannya menyelesaikan kemelut dalaman Bersatu di Johor serta kegagalan memulihkan perpaduan di Perak.

“Hamzah gagal menguruskan tindakan bertentangan perlembagaan parti oleh penyokongnya di Johor. Ini membuktikan ketidakupayaan beliau untuk memimpin, mengawal dan menyatukan parti.

“Ia juga mencerminkan kegagalan kepimpinan yang struktural dan tidak boleh diperbaiki,” menurut memorandum tersebut.

Ia juga menyebut beberapa salah laku oleh Hamzah termasuklah kegagalan sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tidak mengawal penyokong yang melanggar perlembagaan parti, terbabit dalam insiden kekacauan semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 dan menjalankan rundingan dengan pihak luar tanpa mandat sah kepimpinan tertinggi parti.

Malah Hamzah sebagai Timbalan Presiden turut mendalangi gerakan menjatuhkan Presiden melalui kutipan Akuan Berkanun (SD) serta bersubahat dalam usaha menggagalkan PAT, termasuk tindakan yang mencemarkan nama baik Presiden.

“Kepimpinan Johor mendesak Lembaga Disiplin menjalankan prosiding segera dan menjatuhkan hukuman pemecatan, manakala MPT diminta menggunakan kuasa perlembagaan bagi menamatkan jawatan serta keanggotaan Hamzah tanpa sebarang kompromi.

“Pada tahap ini, pemecatan bukan lagi pilihan, ia adalah keperluan mutlak,” kata memorandum berkenaan.