ECRL kini capai 91.7%, bakal beri limpahan ekonomi kepada Pantai Timur

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini berada pada tahap 91.7 peratus siap setakat bulan lalu, sekali gus menghampiri garis penamat bagi jajaran dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang dijadualkan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Perkembangan ini diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang memaklumkan fokus kerajaan kini beralih kepada persiapan menyeluruh bagi fasa pengoperasian.

Menurut beliau, pengoperasian komersial masih kekal pada Januari 2027 tanpa sebarang perubahan untuk dipercepatkan.

Kenyataan itu dibuat sempena majlis peluncuran khas ketibaan tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Electric Locomotive (E-Loco) pertama bagi projek berkenaan di Stesen ECRL Kota SAS.

Ketibaan tren tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan panjang projek infrastruktur bernilai RM50.27 bilion itu.

ECRL bukan sekadar projek rel biasa. Ia merupakan projek rel terbesar negara dan menjadi simbol kerjasama strategik antara Malaysia dan China.

Projek ini juga sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), mencerminkan hubungan diplomatik dan ekonomi yang semakin erat antara kedua-dua negara.

Dua set tren EMU dan dua lokomotif elektrik yang tiba di Malaysia dikilangkan oleh CRRC Dalian di China, selepas melepasi ujian komprehensif termasuk Factory Acceptance Test yang disahkan oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Dari sudut teknikal, pencapaian ini memperlihatkan kesediaan sistem rel moden yang bakal menghubungkan Pantai Timur dan Lembah Klang melalui rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Namun lebih daripada sekadar angka kemajuan dan ketibaan tren baharu, ECRL membawa makna lebih besar terhadap landskap pembangunan negara.

Sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo, ECRL berpotensi mengubah pola logistik dan mobiliti rakyat.

Ia dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi wilayah Pantai Timur yang selama ini sering dilihat ketinggalan berbanding Pantai Barat.

Dalam konteks ini, ECRL boleh dianggap sebagai ujian sebenar keupayaan negara mengimbangi pembangunan antara wilayah.

Cabaran seterusnya bukan lagi soal pembinaan, tetapi kecekapan operasi, kos penyelenggaraan dan tahap penggunaan apabila ia mula beroperasi kelak.

Projek mega seperti ini hanya benar-benar berjaya apabila manfaatnya dirasai rakyat secara langsung, melalui peluang pekerjaan, pengurangan kos logistik dan jaringan ekonomi yang lebih inklusif.

Januari 2027 bakal menjadi penentu sama ada ECRL sekadar mercu tanda fizikal, atau pemangkin transformasi sebenar.

BACA JUGA 17 ketua bahagian Bersatu Johor kemuka memorandum desak Hamzah dipecat