Isu rumah ibadat: MKN Selangor tetap garis panduan, nasihat tidak bertindak sendiri

Susulan pertikaian isu rumah ibadat haram, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan supaya prosedur yang  sedang digunapakai di peringkat kerajaan negeri dipertingkatkan.

Beliau juga mengarahkan tindakan segera di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan serta pengukuhan SOP Jawatankuasa LIMAS yang lebih jelas, sekiranya berlaku pertikaian tapak rumah ibadat di atas tanah kerajaan negeri 

Bagi kes rumah ibadat di atas tanah milik persendirian pula, Amirudin berkata proses sedia ada memerlukan pemilik tanah melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan sebarang pengosongan dan perobohan berlaku. 

“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah. 

“Ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor

Mengambil kira aspek keselamatan, MKN Negeri Selangor telah memutuskan perkara berikut.

Mana-mana pemilik tanah yang mendapati pencerobohan telahberlaku dan rumah ibadat dibina tanpa kelulusan:

1. Laporan polis perlu dibuat. Ini akan membolehkan pihak PDRM menyiasat dan sekiranya terbukti, proses pendakwaan bagi kesalahan pencerobohan akan bermula.

2. Hantar notis kepada pihak penceroboh dan maklumkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah. Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan di semua daerah di Selangor.

3. JKD sebagai pengantara akan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM, dan PBTbagi mencapai penyelesaian yang munasabah.

“Sekiranya proses ini tidak membuahkan hasil, JKD akan menasihatkan supaya proses mahkamah diteruskan oleh pemilik tanah.

“Pendekatan ini digunakan supaya keseluruhan proses ini melibatkan pihak berkuasa dan mengelakkan daripada sebarang insiden yang mampu mencetuskan rusuhan untuk berlaku,” katanya lagi.

BACA JUGA ECRL kini capai 91.7%, bakal beri limpahan ekonomi kepada Pantai Timur